Tiada lebih penting daripada nyawa

No Image Caption
A
A
A

AKHIRNYA saya dapat keluar dari bilik sendiri setelah mengurungkan diri selama 14 hari.

Saya terpaksa kuarantin di rumah kerana saya adalah kontak rapat dengan seorang rakan sekerja saya yang disahkan positif Covid-19 selepas Hari raya Aidilfitri. Saya bersyukur kerana disahkan negatif setelah melakukan ujian saringan sebanyak dua kali.

Sepanjang 14 hari di dalam bilik, saya mendapat khabar ada kawan dan beberapa orang kenamaan dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti Covid-19, malah ada diberitakan meninggal dunia.

Akibat kesuntukan masa, ada yang tidak sempat meninggalkan kata-kata terakhir kepada ahli keluarga atau kawan-kawan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sebagai pengamal media dan berada di barisan paling hadapan, saya tentunya lebih sensitif apabila dapat menghidu sesuatu berita berbanding orang lain.

Saya percaya, gelombang baharu ini tidak boleh dianggap sebagai gurauan, namun kebanyakan orang masih tidak mengambil kisah bahayanya.

Walaupun pihak media telah memaklumkan kepada orang ramai mengenai virus Covid-19 yang semakin bahaya, ramai orang masih keluar makan secara beramai-ramai dan bersosial.

Kebanyakan pesakit Covid-19 tidak sedar bagaimana mereka boleh dijangkiti, sedangkan jumlah kes tanpa kluster semakin meningkat. Ia bermakna virus telah menyerap ke dalam komuniti kita.

Artikel Berkaitan:

Sebaik sahaja menyedari keadaan semakin meruncing, saya segera membatalkan segala aktiviti keraian sepanjang minggu berkenaan dan me-ngarahkan ketua-ketua jabatan dan wartawan melakukan kerja di rumah demi keselamatan diri sendiri, ahli keluarga dan rakan sekerja.

Kita menghadapi laluan sukar dalam usaha memerangi Covid-19 disebabkan banyak kelemahan yang ada pada kerajaan, manakala tahap kesedaran diri dalam kalangan rakyat amat mengecewakan.

Kerajaan sehingga hari ini masih belum melakukan ujian saringan skala besar-besaran di seluruh negara, sekali gus menyebabkan virus mudah meresapi ke dalam komuniti dan merebak dengan cepat.

Kita perlu memberi pujian kepada kerajaan Selangor yang melakukan ujian saringan besar-besaran kepada rakyatnya. Negeri-negeri lain perlu mencontohi Selangor.

Saya mencadangkan semua persatuan perniagaan dan suku kaum menggunakan sumber yang ada untuk melakukan ujian saringan kepada ahli-ahli mereka serta menggalakkan mereka mendapatkan vaksin.

Sekiranya persatuan-persatuan tersebut berkemampuan, kaum-kaum lain juga dapat dibantu kerana kita sememangnya adalah satu keluarga besar dalam Malaysia.

Memerangi Covid-19 adalah satu peperangan yang berpanjangan. Kita jangan beranggapan ia akan berakhir hujung tahun ini atau tahun depan. Sama ada rakyat, syarikat atau kerajaan, semuanya perlu bersiap sedia bahawa virus Covid-19 akan sentiasa bersama kita.

Ketika jumlah kes baharu semakin meningkat, perasaan takut rakyat tentulah tidak boleh dielakkan. Keinginan rakyat untuk segera mendapatkan suntikan vaksin adalah perkembangan menggembirakan.

Terlalu sukar meramalkan bagaimana kesan bahaya yang akan kita hadapi. Semua pihak perlu melupakan segala perselisihan faham, sama ada kerajaan atau pembangkang perlu bergandingan dengan rakyat jelata, memikul tanggungjawab masing-masing membantu golongan miskin agar dapat mengharungi bencana besar dalam abad ini.

Ramai golongan penganggur telah lama hidup tertekan akibat tiada pendapatan. Begitu juga petugas barisan hadapan cuba sedaya upaya menyelamatkan nyawa pesakit tanpa mengira waktu.

Ketika inilah, tiada yang lebih penting lagi kecuali nyawa sendiri. Selagi kita dapat hidup, seberapa banyak kali hendak tukar pimpinan kerajaan pun tidak ada masalah. Bukankah begitu?

* Kuik Cheng Kang ialah Ketua Pengarang Sin Chew Daily.