Isu land swap: 'Saya sedia disiasat'

Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedia untuk disiasat berhubung dakwaan berlakunya ketirisan projek pertukaran milik tanah (land swap) sehingga menyebabkan Kementerian Pertahanan kerugian bernilai RM500 juta.

Menurutnya, selepas lapan bulan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusi bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang menunjukkan terdapat keraguan dalam 16 projek berlainan dengan syarikat berbeza sejak 1997 melibatkan tukar milik tanah kementerian terbabit.

"Saya tetap dengan pendirian sebelum ini dan tiada apa-apa untuk disembunyikan.

"Justeru, saya bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil untuk siasatan," katanya dalam Facebook hari ini.

Bekas Naib Presiden UMNO itu memberitahu, isu seumpama itu wujud kerana matlamat utama kerajaan PH adalah untuk menggali seberapa banyak kesalahan yang dilakukan kerajaan BN berbanding menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan.

"Lagipun ia merupakan strategi mereka untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan kerajaan di bawah pimpinan PH.

"Saya fikir sudah tiba masanya kerajaan kini bertindak ke depan selepas 10 bulan mengambil alih kuasa pentadbiran. Ketepikan soal politik kerana tumpuan utama ialah rakyat," tegasnya.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut menggesa kerajaan PH menjaga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka termasuk kebajikan veteran ATM yang bersusah payah demi negara.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam satu kenyataan memberitahu, JKSTUPKK mendapati anggaran kerugian sepanjang urus niaga pertukaran hak milik tanah Kementerian Pertahananan adalah melebihi RM500 juta.

Selain Hishammuddin, isu berkenaan juga mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu menafikan dakwaan tersebut kerana menjelaskan semasa urus niaga tukar milik tanah itu berlaku pada 1997, beliau bukan Perdana Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Kewangan mahupun Menteri Pertahanan.

Jawatan Perdana Menteri ketika itu dipegang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad manakala Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pula ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.