X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Pesara KKM lesap RM60,000 terpedaya panggilan Macau Scam

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

MELAKA - Seorang pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerugian RM60,000 apabila terpedaya dengan panggilan palsu oleh sindiket penipuan Macau Scam yang mendakwa mangsa terbabit dengan kes jenayah menjual vaksin Covid-19 di Labuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata, mangsa lelaki berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek lelaki pada 2 Jun lepas yang menyamar sebagai pihak daripada mahkamah sivil Labuan.

Mangsa yang tinggal di Bukit Baru itu telah menafikan dirinya terbabit dengan aktiviti berkenaan, namun panggilan tersebut disambungkan kepada seorang suspek wanita yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Farah Ajis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

"Suspek telah meminta pesara itu memasukkan wang simpanan kepadanya bagi tujuan siasatan dan mangsa yang tidak merasa curiga telah membuat pindahan wang berjumlah RM60,000 ke dalam akaun yang telah diberikan.

"Selepas mengikut arahan suspek, mangsa telah memaklumkan kejadian itu kepada rakan-rakannya dan telah diberitahu bahawa mangsa telah ditipu sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah semalam," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sundra berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dan pihaknya meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan yang mencurigakan.

"Orang ramai juga diingatkan bahawa dalam sistem negara ini sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi kerajaan lain dalam satu panggilan yang sama.

"Masyarakat juga dinasihati untuk memuat naik aplikasi 'Semak Mule CCID' untuk membuat semakan terhadap nombor telefon atau nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan,” katanya. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!