KKM, JKN akan segera atasi kesesakan hospital

Dr Noor Azmi (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato' Zainal Abidin Zin, Bagan Serai pada Jumaat.
Dr Noor Azmi (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato' Zainal Abidin Zin, Bagan Serai pada Jumaat.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan segera mengatasi masalah kesesakan di hospital akibat jangkitan Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, antara usaha dilakukan termasuk menambah keperluan katil di lokasi yang memerlukan.

"Namun apa yang berlaku ketika ini, kemudahan kesihatan seperti hospital sesak dan padat, tetapi bukanlah sampai kita terpaksa letak pesakit di tepi jalan.

"Kita sarankan pada rakyat dalam keadaan darurat ini supaya duduk di rumah bagi mengurangkan kadar jangkitan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato' Zainal Abidin Zin, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, situasi kritikal berkaitan isu hospital memang menjadi perbincangan utama dalam Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Beliau berkata, sebelum ini memang keperluan hospital seperti katil dan mesin ventilator ditambah bagi menangani kes positif Covid-19 yang meningkat.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi meminta kerjasama semua pihak dalam memastikan lekuk jangkitan Covid-19 dilandaikan bagi mengurangkan kesesakan di hospital.

Katanya, disebabkan itulah kerajaan memperkenalkan Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown sekali lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai vaksin kepada ibu mengandung, beliau memaklumkan bahawa golongan tersebut akan diberikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Katanya, orang ramai terutama ibu mengandung boleh mengemas kini status mereka menerusi aplikasi MySejahtera.