Cheng Hoe yakin Harimau Malaya mampu bangkit

Kesebelasan utama Harimau Malaya pada perlawanan menentang UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada awal pagi Jumaat. - Foto FB FAM
Kesebelasan utama Harimau Malaya pada perlawanan menentang UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada awal pagi Jumaat. - Foto FB FAM
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap yakin skuad kendaliannya mampu bangkit pada aksi berdepan Vietnam 11 Jun ini biarpun tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G, pada awal pagi Jumaat.

Menurut Cheng Hoe, tempoh seminggu menjelang aksi berkenaan akan dimanfaatkan sebaiknya bagi melakukan persiapan berdepan skuad Naga Emas itu.

Malah katanya, tempoh berkenaan bakal dimanfaatkan bagi mengenal pasti kelemahan serta kekuatan sebenar skuad Harimau Malaya bagi melakar kejayaan pada perlawanan itu nanti.

“Sebagai jurulatih, saya percaya pemain saya tetap positif bagi mengharungi perlawanan akan datang dan kami masih ada beberapa hari untuk melakukan persiapan.

“Dalam tempoh itu, kita juga akan kenal pasti kelemahan serta kelebihan pasukan terutamanya ketika sesi latihan dalam usaha mencatat keputusan positif ketika menentang Vietnam nanti.

“Saya juga percaya, Vietnam telah melakukan analisis terhadap permainan kita dan mereka juga adalah pasukan yang kuat pada aksi kelayakan kali ini,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi berdepan UAE pada awal pagi Jumaat..

Harimau Malaya tewas 0-4 pada aksi berkenaan menerusi jaringan Ali Makhbout pada minit ke-19 dan Fabio Lima (82) sebelum kedua-dua pemain terbabit sekali lagi menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan ‘besar’ ke atas Harimau Malaya.

ARTIKEL BERKAITAN: UAE tewaskan Harimau Malaya 4-0

Artikel Berkaitan:

Kekalahan berkenaan menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga keempat apabila kekal dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan tiga kekalahan selepas enam perlawanan manakala UAE melonjak ke tangga kedua dengan tiga kemenangan dan dua kekalahan daripada enam perlawanan.

Thailand pula berada pada tangga ketiga setelah terikat 2-2 ketika berdepan Indonesia di Stadium Al Makhtoum manakala Vietnam yang tidak beraksi kekal menerajui Kumpulan G dengan 11 mata hasil tiga kemenangan dan dua seri daripada lima perlawanan setakat ini.

Mengulas kekalahan 0-4 kepada UAE, Cheng Hoe menyifatkan ia berpunca akibat pemain yang kehilangan fokus khususnya di benteng pertahanan.

Bagaimanapun katanya, kesemua pemain dilihat telah memberikan komitmen terbaik pada perlawanan berkenaan dan diharapkan ia dapat diteruskan bagi memastikan kebangkitan pasukan pada perlawanan berdepan Vietnam nanti.

“Saya yakin pemain kita kecewa dengan kekalahan besar ini, tetapi mereka dilihat telah memberikan aksi terbaik.

“Lagi pun kita tahu bahawa pasukan UAE kali ini adalah pasukan yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini, bukanlah pasukan yang sama seperti sebelum ini.

“Apa pun kekalahan ini diharap dapat memberikan pengajaran kepada pasukan kita untuk memperbaiki segala kelemahan dan kembali bangkit pada perlawanan akan datang dengan mempamerkan mutu permainan yang jauh lebih baik,” katanya.