X

Kindly register in order to view this article
!

UAE tewaskan Harimau Malaya 4-0

Skuad Harimau Malaya menentang UAE pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai. - Foto Facebook FAM
A
A

[DIKEMAS KINI] Skuad Harimau Malaya gagal mencipta kejutan awal apabila tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai pada awal pagi Jumaat.

Kekalahan itu sekali gus memerlukan skuad kendalian Tan Cheng Hoe bangkit pada dua baki aksi selepas ini iaitu berdepan pendahulu Kumpulan G, Vietnam dan Thailand.

Perlawanan pada awal pagi Jumaat menyaksikan UAE bermula garang sebaik wisel permulaan apabila dilihat melancarkan asakan ke gawang skuad negara bagi membuka jaringan.

Seawal minit ke-7, pemain UAE, Khalil Ibrahim Al-Hammadi berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum melakukan percubaan ke pintu gol, namun penjaga gol, Farizal Marlias berjaya menepis keluar bola bagi menyelamatkan pintu gol Harimau Malaya.

UAE bagaimanapun berjaya membuka jaringan pada minit ke-18 menerusi penyerang, Ali Makhbout yang berjaya melepasi benteng pertahanan sebelum tenang melambungkan bola melepasi jangkauan Farizal.

Minit ke-23 sekali lagi menyaksikan jentera serangan UAE berjaya melepasi benteng pertahanan negara dan menjaringkan gol kedua, namun dibatalkan kerana ofsaid.

UAE kemudianya dilihat lebih banyak menguasai perlawanan selepas itu selain berjaya melancarkan serangan-serangan berbahaya ke kubu skuad negara bagi menambah jaringan, namun asakan-asakan berkenaan dlihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan.

Minit ke-42 menyaksikan skuad negara berpeluang menyamakan kedudukan, namun tandukan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula jauh tersasar sekali gus menyaksikan kedudukan 0-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Harimau Malaya tampil berbeza dengan kemasukan Junior Eldstal, Syafiq Ahmad dan Luqman Hakim Samsudin hingga berjaya menyaingi asakan-asakan UAE sambil melakukan percubaan ke pintu gol tuan rumah.

Pada lewat permainan, UAE dilihat mula mengatur asakan berbahaya ke kubu skuad negara dan rembatan Ali Makhbout pada minit ke-61 gagal menepati sasaran.

Ali Makhbout sekali lagi melakukan percubaan ke gawang Harimau Malaya, pada mint ke-81 namun berjaya ditepis dengan baik oleh Farizal untuk sekali lagi menyelamatkan pintu gol Harimau Malaya.

Bagaimanapun kekebalan pintu gol skuad negara berjaya juga dibolosi pada minit ke-82 apabila pemain naturalisasi UAE, Fabio Lima berjaya menewaskan Farizal menerusi rembatan dari sebelah kiri pintu gol untuk gol kedua tuan rumah

Pada masa kecederaan, Ali Makhbout berjaya menjaringkan gol ketiga dan Fabio Lima sekali berjaya menjaringkan gol keempat bagi mengesahkan kemenangan 4-0 ke atas Harimau Malaya.

Kekalahan kepada UAE itu menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga keempat apabila kekal dengan sembilan mata selepas mengharungi enam perlawanan.

UAE pula melonjak ke tangga kedua apabila merekodkan sembilan mata manakala Thailand di tangga ketiga selepas turut mengumpul sembilan mata.

Thailand mengutip satu mata selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Indonesia dalam satu lagi aksi Kumpulan G di Stadium Al Makhtoum.

Vietnam yang tidak beraksi kekal menerajui Kumpulan G apabila mengumpul 11 mata.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!