Bayi kembar sembilan boleh bernafas sendiri

Gambar fail menunjukkan seorang jururawat mengawasi sembilan bayi yang dilahirkan oleh seorang ibu dari Mali di sebuh klinik di Rabat, Maghribi pada Mei lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang jururawat mengawasi sembilan bayi yang dilahirkan oleh seorang ibu dari Mali di sebuh klinik di Rabat, Maghribi pada Mei lalu. - Foto AFP
A
A
A

RABAT - Sembilan bayi yang dilahirkan oleh seorang ibu warga Mali pada 4 Mei lalu di Rabat kini boleh bernafas sendiri tanpa mendapatkan sebarang bantuan selepas melepasi tahap pernafasan yang membimbangkan, kata seorang jurucakap sebuah klinik pada Rabu.

Menurut AFP, jurucakap dari Klinik Ain Borja itu, Abdelkoddous Hafsi berkata, kesemua bayi kembar berkenaan ini sihat tetapi masih diletakkan dalam pemerhatian sehingga selama dua bulan lagi.

Katanya, bayi-bayi itu perlu diberikan makanan melalui tiub tetapi berat badan masing-masing semakin meningkat iaitu antara 800 gram dan 1.4 kilogram.

Ibunya, Halima Cisse dari Timbuktu di utara Mali yang berusia 25 tahun itu melahirkan lima bayi perempuan dan empat lelaki pada Mei lalu.

Hafsi berkata, masa sebulan setengah atau dua bulan diperlukan untuk bayi-bayi tersebut menyesuaikan diri dengan kehidupan normal.

Satu pasukan perubatan yang terdiri daripada 10 doktor dan dibantu oleh 25 anggota paramedik terlibat dalam proses melahirkan bayi itu yang dilakukan melalui kaedah 'caesarian'.

Sebelum ini, kerajaan Mali menerbangkan ibu bayi itu dari Afrika Barat ke Maghribi pada 30 Mac lalu untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang lebih baik.

Wanita Mali itu pada awalnya dijangka melahirkan kembar tujuh selepas dia melakukan pemeriksaan ultrabunyi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, seorang wanita Amerika Syarikat, Nadya Suleman mencipta rekod apabila melahirkan lapan bayi pada tahun 2003 ketika berumur 33 sebelum rekodnya dipecah oleh ibu dari Mali itu. - Agensi