MOTAC lanjut kelonggaran syarat bagi syarikat pelancongan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju melanjutkan tempoh kelonggaran syarat yang diberikan kepada syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

MOTAC dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, perlanjutan dari 1 Julai hingga 31 Disember itu adalah berkaitan kelonggaran dari segi keluasan premis bagi syarikat pengendali pelancongan yang telah berlesen dan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan.

Kelonggaran dari segi keluasan premis dan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan, sebelum ini diberikan dari 1 Januari hingga 30 Jun ini.

Menurut MOTAC, kelonggaran berkaitan penyewaan premis perniagaan secara 'co-share office space' diberikan sehingga 30 Disember ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa kelonggaran itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 6,945 pengusaha pelancongan yang berlesen yang menjalankan perniagaan agensi pengembaraan.

"Kementerian berharap kelonggaran syarat bagi syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta 482 dapat membantu meringankan beban dan masalah yang dihadapi oleh syarikat pengusaha pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak C0vid-19," kata MOTAC. - Bernama

Artikel Berkaitan: