Tiada pergerakan rentas pintu sempadan: MB Kedah

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda, Dr Suziana Redzuan memberi penerangan kepada Muhammad Sanusi ketika melakukan pemantauan di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Kenangan Sungai Petani pada Rabu.
Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda, Dr Suziana Redzuan memberi penerangan kepada Muhammad Sanusi ketika melakukan pemantauan di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Kenangan Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tiada pergerakan pulang rakyat negara Thailand sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' yang berkuat kuasa pada Selasa.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua pintu sempadan yang ada di negeri itu iaitu Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung hanya dibuka bagi laluan komersial sebaliknya ditutup untuk laluan awam sejak penularan wabak Covid-19.

"Bermula dari awal penularan wabak Covid-19, pintu sempadan tidak dibuka dan hanya boleh dilalui perjalanan komersial bawa barang, untuk pelancong balik kampung tidak dibuka.

"Kita difahamkan macam itu, kalau ada rentas sempadan pun bukan bawah kerajaan negeri, sebaliknya bawah Jabatan Imigresen Malaysia atau Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media berhubung tindakan Thailand perketat kawalan di sempadan Malaysia bagi menyekat kemasukan rakyatnya dan pekerja asing dalam usaha membendung aktiviti rentas secara tidak sah semasa penularan wabak Covid-19 setelah pelaksanaan 'total lockdown' di negara ini.

Muhammad Sanusi ditemui media ketika melakukan pemantauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kenangan Sungai Petani pada Rabu.

Menurut Muhammad Sanusi, pintu sempadan yang ada di Kedah setakat ini hanya boleh dilalui bagi tujuan komersial dengan kawalan ketat keselamatan.

"Dulu memang ada kes terkandas, bulan Jun atau Julai tahun lepas ada pergerakan masuk, lepas itu tiada yang tersangkut (rentas sempadan)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Laporan media pada Selasa menyiarkan kenyataan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan untuk mencegah rakyat negara itu serta kemasukan pekerja asing setelah Malaysia melaksanakan 'total lockdown' selama 14 hari.

Dalam kenyataan sama, pasukan keselamatan terdiri daripada tentera, renjer dan Border Patrol Police dikatakan telah mempergiatkan kawalan dan pemantauan di sempadan darat, air dan udara negara berkenaan.