Cools perkuat benteng Harimau Malaya

Cools (tengah) mula menjalani latihan ringan bersama skuad Harimau Malaya sebaik tiba di Dubai, UAE pada Selasa.
Cools (tengah) mula menjalani latihan ringan bersama skuad Harimau Malaya sebaik tiba di Dubai, UAE pada Selasa.
A
A
A

POSISI pertahanan tengah Harimau Malaya tampak lebih mantap apabila pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia, Dion Cools bakal bergandingan dengan kapten, Aidil Zafuan Abd Razak pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, Cools mempunyai kelebihan untuk beraksi di beberapa posisi termasuk pertahanan tengah walaupun lebih kerap bermain di bahagian pertahanan kanan ketika bersama kelabnya, FC Midtjylland.

Malah, Cheng Hoe juga mengakui pengalaman Cools beraksi di pentas tertinggi seperti aksi dalam Liga Belgium, Liga Denmark termasuk saingan Liga Juara-Juara memudahkannya untuk menembusi kesebelasan utama Harimau Malaya.“Kami mengalu-alukan kedatangan Cools dan saya harap dengan kemasukan Cools akan dapat memberikan kestabilan dalam pasukan. Kami harap dia cepat serasi dan paling penting dapat ikut segala taktikal dan disiplin pasukan.

“Untuk posisi pula, kami tahu Cools seorang pemain yang boleh bermain di banyak posisi. Selain pertahanan kanan, dia juga boleh bermain sebagai pemain sayap kanan, pemain tengah bertahan, pertahanan tengah dan pertahanan kiri.

“Dalam pasukan kali ini, kami akan letak Cools bermain di bahagian pertahanan tengah sebab semua tahu kerisauan di posisi tersebut selepas Shahrul Saad mengalami kecederaan.

“Malah, dalam dua aksi yang lepas kita dibolosi gol yang mudah. Jadi kehadirannya memberikan kestabilan dan mengisi kekosongan di bahagian pertahanan tengah itu,” katanya dalam sidang media secara maya pada Selasa.

Terdahulu, FAM secara rasmi mengumumkan Cools sah menyarung jersi Harimau Malaya, sekali gus menamatkan teka teki mengenai pemain ke-26 yang diperkatakan ramai pihak sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui tidak terlalu risau dengan kemampuan Cools untuk menyesuaikan diri dan membentuk keserasian dengan cepat bersama rakan-rakan sepasukannya.

Artikel Berkaitan:

“Memang bukan senang mana-mana pemain yang datang untuk terus dapat keserasian dan persefahaman terbaik. Namun, kami tahu dia mampu menggalas tugas itu kerana dia pernah bermain di peringkat tertinggi.

“Kami harap Cools boleh sesuaikan diri secepat mungkin dengan cara permainan pasukan kerana segala pengalamannya itu sangat berguna untuk menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.

“Dalam masa dua tiga hari ini, kita akan pantau sama ada dia terus akan dimasukkan dalam kesebelasan utama atau sebaliknya. Apa yang penting kami sentiasa positif dengan kehadiran Cools,” ujarnya.