X

Kindly register in order to view this article
!

Bayi 3 bulan derita otak terkeluar

Mohd Fadli dan Siti Sarah berharap ada sinar untuk Nur Fatima selepas pembedahan.
A
A

NILAI - Pasangan suami isteri dari Taman Teratai di sini buntu memikirkan kos RM80,000 yang perlu ditanggung untuk pembedahan anak perempuan mereka yang berusia tiga bulan.

Dugaan berat itu dihadapi Mohd Fadli Kamaruddin, 32, dan Siti Sarah Muhamad Saharudin, 29, selepas dimaklumkan anak kecil itu perlu menjalani pembedahan utama membabitkan pembedahan tempurung kepala disusuli pembedahan kosmetik bagi memasang implan pada muka, gusi dan gigi serta bibir dan lelangitnya.

Bagaimanapun Mohd Fadli berkata, doktor akan memaklumkan kos keseluruhan pembedahan anaknya, Nur Fatima Aisyah selepas menerima keputusan prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) diperoleh.

"Walaupun kami belum tahu kos keseluruhan yang sebenarnya tetapi ada rakan-rakan beritahu anggarannya sekitar RM80,000," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Fadli, perniagaan secara kecil-kecilan bersama isteri menyukarkan mereka mengumpul wang sebanyak itu bagi menampung kos pembedahan Nur Fatima selain perlu membiayai dua orang anak yang masih bersekolah berusia lapan tahun dan lima tahun.

Bagaimanapun katanya, paling utama ialah pembedahan tempurung kepala kerana otak bayinya itu terkeluar dan berisiko jika dibiarkan lebih lama.

Tempurung kepala Nur Fatima yang perlu dibedah kerana otaknya terkeluar.
Tempurung kepala Nur Fatima yang perlu dibedah kerana otaknya terkeluar.

Kami perlu berhati-hati memegang kepala Nur Fatima kerana jika tersentuh dia akan menangis kesakitan," katanya.

Selain itu menurut Mohd Fadli, dia juga perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Kajang untuk rawatan susulan anaknya itu.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana rakan-rakan, ahli keluarga serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ada membantu.

"Kami tidak meminta sebarang bantuan daripada pihak lain. Cuma sekarang dalam proses menunggu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal yang diharap dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu Pengerusi NGO Anak Jati Nilai, Mohd Shahril Hakimi Hamdan yang melawat keluarga berkenaan berkata, bayi itu memerlukan bantuan berterusan berdasarkan keadaan kesihatannya.

Katanya, laporan daripada Sinar Harian diharap dapat membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk membantu.

Bagi mereka yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke nombor akaun CIMB Bank 7014297041 atas nama Siti Sarah Muhamad Saharudin.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!