Kesal ada pihak ambil keuntungan cara mudah

No Image Caption
A
A
A

JARINGAN Prihatin merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih.

Program bernilai RM3.5 bilion di bawah Belanjawan 2021 itu diperuntukkan untuk 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan merupakan pelengkap kepada inisiatif MyDigital yang diumumkan pada Februari 2021.

Ia bertujuan membina bakat dan kemahiran digital, seiring dengan usaha keterangkuman berpaksikan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Jaringan Prihatin dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Mei 2021 usaha sama antara Kementerian Kewangan serta 12 syarikat telekomunikasi negara.

Ramai yang telah membuat permohonan dan penebusan di bawah program itu dengan memilih salah satu daripada dua manfaat iaitu peranti atau pelan data bulanan kecewa dengan perkhidmatan diberikan sesetengah syarikat telekomunikasi terlibat.

Bukan tidak tahu bersyukur dengan usaha baik kerajaan ini untuk membantu rakyat.

Cuma apa yang dikesalkan ialah apabila ada syarikat telekomunikasi memberikan peranti yang ketinggalan zaman atau boleh dikategorikan sebagai ‘cap ayam’.

Itu belum lagi ditambah dengan cepat kehabisan bateri dan sebagainya, sedangkan rebat RM300 bukanlah satu jumlah yang kecil terutama bagi golongan B40 dan sudah pasti ralat sekiranya menerima peranti yang tidak setanding harga.

Artikel Berkaitan:

Ramai yang meluahkan kekecewaan mereka di media sosial. Ada pula yang mendakwa, rakyat tetap di takuk lama tetapi syarikat telekomuniasi juga yang mengaut untung!

Benar, ada di antara peranti itu diberikan secara percuma namun tidak seharusnya usaha dan inisiatif kerajaan yang murni ini, dicemari dengan tindakan syarikat telekomunikasi yang hanya mementingkan diri lalu memusnahkan harapan golongan B40 untuk mendapat telefon bimbit baharu untuk anak-anak.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu memantau dan memastikan program Jaringan Prihatin itu benar-benar membantu golongan sasar lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini di mana ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Panduan

Bagaimanapun, bagi rakyat yang belum membuat sebarang penebusan, jangan bimbang kerana ramai yang cakna dan sudi memberikan tunjuk ajar melalui platform media sosial.

Semoga ALLAH memberikan ganjaran pahala kepada mereka yang berkongsi manfaatkan program Jaringan Prihatin itu sekali gus layak untuk menebus rebat berkenaan.

Untuk yang ingin menebus, pastikan banyak membaca mengenai pengalaman orang ramai yang membuat penebusan program itu, kerana dari situ kita dapat lihat peranti atau data mudah alih yang relevan dan mesra B40.

Selain itu, inisiatif beberapa syarikat komunikasi yang memperkenalkan data tanpa sebarang kontrak sememangnya melegakan dan disambut baik kerana tidak semua orang berminat untuk terikat dengan mana-mana kontrak lebih-lebih lagi yang telah mempunyai telefon bimbit sebelum ini.

Mereka yang masih belum menebus, ambillah peluang untuk mendaftar dengan syarikat telekomunikasi pilihan mereka dengan menyertai mana-mana pelan yang diiktiraf di bawah program ini sebelum 31 Julai depan.

* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian Melaka