X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Rakyat divaksin cecah 3 juta orang

Seramai 1.9 juta rakyat Malaysia telah mendapatkan dos pertama suntikan vaksin Covid-19, manakala 1.1 juta telah menlengkapkan dos kedua.
A
A

[INFOGRAFIK] Seramai 3,008,429 rakyat Malaysia telah divaksin sehingga 31 Mei 2021, menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKAV).

Daripada jumlah tersebut, 1.9 juta telah mendapatkan dos pertama suntikan vaksin Covid-19, manakala 1.1 juta telah menlengkapkan dos kedua.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus berbanding minggu lalu yang mana jumlah penduduk lengkap divaksin direkodkan sekitar 2,730,536 orang.

Bagaimanapun, sasaran melengkapkan imuniti kelompok sebanyak 80 peratus masih lagi jauh kerana setakat ini sekitar 3.5 peratus penduduk sahaja yang lengkap divaksin.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin imuniti kelompok di negara kita mampu dicapai sebelum akhir tahun ini.

Walaupun terdapat desas-desus yang mendakwa kononnya rakyat ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, namun jumlah mereka yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan tersebut dilihat meningkat di seluruh negara.

Seramai 12.2 juta penduduk di negara ini direkodkan sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Daripada jumlah tersebut, Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu sebanyak 3,267,197, diikuti oleh Johor (1,514,605), Sarawak (1,234,632) dan Kuala Lumpur (1,023,529).

Secara keseluruhannya, negeri-negeri di Malaysia berjaya mencatatkan jumlah pendaftaran melebihi 40 peratus daripada populasi penduduk masing-masing.

Hanya Kelantan dan Sabah sahaja masih mencatat jumlah pendaftaran yang rendah, masing-masing sebanyak 428,043 dan 559,376 orang.

Jumlah dicacatkan Kelantan itu hanya merangkumi 34.75 peratus populasi penduduknya manakala Sabah pula 19.07 peratus sahaja.

Sementara itu, kerajaan menyasarkan untuk melaksanakan 150,000 suntikan vaksin sehari di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim yakin sasaran itu dapat dicapai apabila bekalan vaksin yang lebih tinggi diperoleh Jun ini.

Justeru, katanya, lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka untuk meningkatkan angka vaksinasi dalam tempoh sebulan ke dua bulan sehingga sasaran 150,000 suntikan dicapai dalam sehari.

Buat masa ini, jumlah vaksin Covid-19 yang diberikan kepada rakyat masih rendah iaitu dibawah 100,000 suntikan sehari.

Berdasarkan data JKAV dalam tempoh lima hari, jumlah tertinggi suntikan yang diberikan sehari ialah sebanyak 107,340 iaitu pada 27 Mei lepas.

Kemerosotan jumlah suntikan kemudiannya dicatatkan berlaku pada tiga hari berikutnya dengan jumlah yang paling rendah iaitu sebanyak 61,461 suntikan sehari merangkumi dos pertama dan kedua.

Jumlah suntikan diberikan kembali meningkat pada 31 Mei iaitu sebanyak 95,420 sehari, namun angka tersebut masih juga bawah 100,000.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!