X

Kindly register in order to view this article
!

Penggunaan teknologi IR 4.0 dalam industri pertanian perlu dipertingkat

Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Usaha untuk memastikan jaminan keselamatan makanan negara perlu dilakukan dengan cara meningkatkan lagi penggunaan teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dalam amalan industri pertanian dan makanan.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, penggunaan teknologi terkini perlu dijadikan sebagai agenda utama dalam usaha mencapai matlamat tersebut.

Menurutnya, percubaan yang dilakukan oleh MDEC dalam menerapkan penggunaan teknologi pertanian 4IR dalam industri pertanian negara menunjukkan bahawa terdapat banyak ruang yang boleh ditingkatkan dalam aspek teknologi.

“Hasil dari projek perintis Digital Agtech MDEC telah memperlihatkan daya maju teknologi digital dan automasi dalam pertanian. Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk peningkatan teknologi.

“Kita dapat melepasi versi ‘agri-tech Industry 4.0’ dan memasuki ‘agtech’ yang juga dicadangkan di bawah Malaysia 5.0 yang diilhamkan berdasarkan ‘Society 5.0’ negara Jepun.

“Visi Malaysia 5.0 adalah untuk mewujudkan masyarakat yang sangat bersepadu dengan teknologi, ditadbir oleh prinsip dan amalan ‘eco-vironmental’ yang inklusif dan adil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rais menambah, dalam masa terdekat, beberapa teknologi terkini seperti platform teknologi kewangan dan pasar yang berasaskan ‘blockchain’ juga perlu dipertimbangkan kerana ia dilihat dapat memberikan margin keuntungan yang lebih tinggi kepada petani kecil dengan cara meminimumkan peranan orang tengah.

Sehubungan itu, Rais berkata, teknologi serupa juga perlu digunakan bagi tanaman lain di Malaysia terutamanya padi yang merupakan pertanian yang menghasilkan makanan utama rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Rais berkata, usaha MDEC menggunakan teknologi pertanian 4IR melibatkan pelbagai aktiviti pertanian pintar seperti fertigasi, penyemburan halus secara kabus, akuakultur, perternakan ayam, pengairan dan pemantauan tanah juga terbukti menghasilkan kejayaan yang baik.

“MDEC melihat bagaimana teknologi pertanian telah meningkatkan produktiviti, kualiti dan pendapatan petani kecil lebih dari 20 peratus. Sebilangan besar petani menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan berjaya membawa hasil mereka ke pasaran,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!