Gandingan 'Patatimo' mula congak langkah

Wan Arif dan Haikal mencipta sensasi apabila muncul juara Terbuka Austria. -Foto Facebook BAM.
Wan Arif dan Haikal mencipta sensasi apabila muncul juara Terbuka Austria. -Foto Facebook BAM.
A
A
A

BEREGU badminton lelaki muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri menganggap kejayaan menjuarai Terbuka Austria pada Ahad sebagai batu loncatan untuk memburu lebih banyak kejuaraan di pentas antarabangsa.

Mereka yang dikenali dengan julukan gandingan 'Patatimo' kerana berasal dari Terengganu dan Kelantan mencipta sensasi apabila mengejutkan pilihan kelima kejohanan dari Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-15 pada aksi final.

"Kami bersyukur kerana kami dapat menjadi juara dalam kejohanan ini. Ini semua adalah berkat doa semua orang yang mahu melihat kejayaan kami.

"Ini adalah titik permulaan buat kami, kami akan terus bekerja keras bagi meningkatkan lagi prestasi kami bagi menghadapi kejohanan seterusnya," kata Haikal.

Sementara itu, Wan Arif, berkata, kemenangan itu cukup bermakna buat dirinya yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-19 pada Ahad ini.

"Kemenangan ini adalah untuk Malaysia dan untuk diri saya selepas bekerja keras dalam latihan. Ini satu permulaan buat saya dan Haikal, kami akan terus berusaha bagi menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kami banyak belajar daripada kesilapan kami pada Siri Antarabangsa Slovenia minggu lalu yang mana kami tewas di suku akhir. Kali ini, kami perbaiki kelemahan kami dan kami jadi juara," ujarnya.

Kejayaan menjuarai Terbuka Austria itu merupakan gelaran pertama buat kedua-dua pemain berusia 19 tahun itu di pentas antarabangsa sejak mereka dinaikkan pangkat ke skuad senior awal tahun ini.

Artikel Berkaitan: