X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

RM1 bilion pertingkat kapasiti kesihatan awam: PM

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertambahan peruntukan tersebut adalah komitmen kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh dan beroperasi dengan berkesan.

“Sebanyak RM450 juta bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan unit rawatan rapi (ICU) bagi rawatan Covid-19, bukan sahaja di hospital seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia juga melibatkan di hospital pengajar universiti awam seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta melalui hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta. Jumlah ini termasuk RM200 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 22 Mei baru-baru ini,” katanya ketika berucap pada Perutusan Khas Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Isnin.

Tambah beliau, peruntukan sebanyak RM550 juta untuk menampung keperluan perbelanjaan berkaitan Covid-19 pelbagai agensi antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan termasuk ubat, reagen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak.

Jelasnya, itu juga termasuk kos pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di MAEPS dan di peringkat negeri.

Selain itu, kata Muhyiddin, kerajaan juga akan melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022.

“Kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak.

“Saya juga telah mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Berdasarkan unjuran, pelaksanaan PICK secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang bulan Disember 2021 dengan negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!