Lelaki mengamuk di kedai serbaneka diarah jalani pemeriksaan mental

Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin atas dakwaan mencederakan dan melakukan kekerasan jenayah terhadap tiga individu di sebuah kedai serbaneka pada Khamis.
Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin atas dakwaan mencederakan dan melakukan kekerasan jenayah terhadap tiga individu di sebuah kedai serbaneka pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda yang bertindak mencederakan dan melakukan kekerasan jenayah terhadap tiga individu di sebuah kedai serbaneka di sini pada Khamis lalu diarah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi di Johor Bahru.

Arahan itu dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin terhadap Umar Isa Hafizi Ahmad Faris, 25 selepas tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pekerja, Saufia Alias, 23, dan pelanggan, Rashdan Rosman, 28, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Mahmud, di sini pada jam 2.10 petang, 27 Mei lalu.

Umar Isa Hafizi didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lagi pelanggan, Nurul Alia Amira Zulkifli, 23, pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh sebelum pihak mahkamah mengarahkan dia menjalani rawatan psikiatri.

Mahkamah turut menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, sebuah rakaman video tular sejak Jumaat memaparkan seorang lelaki tanpa pelitup muka mengamuk dan menyerang tiga individu di dalam sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Mahmud di sini.

Polis kemudian berjaya menahan lelaki berkenaan pada Jumaat sebelum dia direman sehingga 31 Mei.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tak pakai pelitup muka serang pelanggan, pekerja kedai serbaneka