Lima lokaliti dikenakan PKPD bermula 2 Jun

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan di Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak bermula Rabu ini sehingga 15 Jun. - Gambar hiasan
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan di Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak bermula Rabu ini sehingga 15 Jun. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak lima lokaliti melibatkan empat negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini hingga 15 Jun bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti yang terlibat adalah daerah Tanjung Manis, Sarawak; Jerantut, Pahang; Batang Padang, Perak; Kota Kinabalu dan Beaufort, Sabah.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dalam masa satu minggu di lokaliti Tanjung Manis, Sarawak yang mencatatkan 21 kes positif daripada 97 ujian saringan dengan kadar 21.6 peratus.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, daerah Tanjung Manis berkuat kuasa 2 Jun sehingga 15 Jun 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalankan saringan ke atas penduduk serta menyekat pergerakan keluar masuk sekali gus mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke luar lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, empat lokaliti lagi yang dikenakan PKPD adalah Kampung Pagi Ulu Tembeling, Jerantut yang melaporkan peningkatan kes positif sebanyak 10 kes daripada 76 ujian saringan dengan kadar 13.2 peratus.

Tambah beliau, turut dikenakan PKPD adalah Felda Trolak Utara, mukim Sungkai yang merekodkan 16 kes positif daripada 123 ujian dan 46 masih menunggu keputusan.

“Di Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu pula sebanyak 10 kes positif telah direkodkan daripada 102 ujian dengan kadar positiviti 9.80 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, KKM turut mengesahkan 20 kes positif telah dikesan selepas melakukan 280 ujian saringan di Jalan Klias 2 dan Jalan Klias 3, Kampung Klias Baru, Beaufort,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 754 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, seramai 746 individu dikompaun manakala lapan lagi direman.

“Antara kesalahan yang direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka 160 individu, tiada penjarakan fizikal (145), gagal merekodkan butiran diri (109), bawa penumpang berlebihan (74) dan lain-lain kesalahan (258),” jelasnya.