TNB rangkul anugerah Brand Of The Year kali keempat

TNB merangkul anugerah berprestij Brand of the Year 2020. Gambar kecil: Baharin Din
TNB merangkul anugerah berprestij Brand of the Year 2020. Gambar kecil: Baharin Din
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) merangkul anugerah berprestij Brand of the Year 2020 kali keempat iaitu pengiktirafan jenama peringkat antarabangsa terulung di World Branding Awards yang berlangsung di London baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, TNB juga memenangi anugerah yang sama pada tahun 2014, 2018 dan 2019.

“Syarikat utiliti elektrik nasional ini satu-satunya jenama yang menerima pengiktirafan tersebut bagi kategori anugerah tenaga di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, penerima anugerah dinilai dari tiga aspek termasuk penilaian jenama (30 peratus), penyelidikan pasaran pelanggan (40 peratus) dan undian awam secara maya (30 peratus).

Jelas Baharin, undian dan pencalonan dilakukan semasa pandemik Covid-19 melanda dunia ketika berdepan pelbagai kekangan yang memberi impak besar terhadap landskap ekonomi masing-masing.

“Dengan berbekalkan semangat kerjasama dan dedikasi warga kerja TNB, kami sekali lagi berjaya memenangi kepercayaan pelanggan menerusi pengalaman mereka dan jenama yang terbaik.

“Kami akan terus menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan pelanggan bagi mendengar keluhan mereka dan memastikan ia ditangani sebaiknya serta terus mengukuhkan hubungan dengan semua pihak berkepentingan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Baharin berkata, anugerah tersebut mencerminkan kerjasama 35,000 warga kerja TNB yang sentiasa gigih memberikan perkhidmatan terbaik kepada hampir 10 juta pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, World Branding Awards adalah program anugerah ulung anjuran World Branding Forum, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa yang berpangkalan di London.

“Anugerah itu mengiktiraf pencapaian inovatif dan kreatif pelbagai jenama yang kekal unik dan relevan kepada pelanggan mereka sepanjang tahun lalu.

“Lebih 400 jenama dari lebih 45 negara menerima pengiktirafan Brand of the Year di World Branding Awards 2020-2021,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi World Branding Forum, Richard Rowles berkata, anugerah itu mengiktiraf pemasar terbaik dari serata dunia dan penghargaan kepada usaha gigih syarikat tersebut dalam membina dan mengekalkan jenama masing-masing di arena pasaran yang sentiasa berubah.