Syihan tak mahu bolos kali keempat

Ahmad Syihan - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Ahmad Syihan - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

SETELAH dibolosi sebanyak tiga kali setakat ini, penjaga gol skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mahu memastikan tidak ‘dibolosi’ buat kali keempat pada aksi Liga Super berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Menurut penjaga gol skuad Harimau Malaya itu, dia bertekad memastikan, pintu gol skuad Harimau Selatan itu tidak ‘bocor’ ketika menentang skuad Hoben Jang Hoben.

"Sebagai benteng terakhir pasukan, setiap penjaga gol diberikan kepercayaan tinggi melaksanakan tugas dengan sempurna tidak membenarkan gawang dibolosi pasukan lawan.

"Bagaimanapun, apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak dan kita tidak boleh cepat rasa 'down' sebaliknya cuba bangkit dan memperbaiki diri dan menamatkan permainan dengan baik.

"Ini kerana, siapa pun lawan JDT, kita sebagai satu pasukan akan memberi tumpuan dan menentang mereka habis-habisan bagi memastikan misi tiga mata menjadi kenyataan,” katanya.

Untuk rekod, gawang skuad Harimau Selatan itu hanya ‘bocor’ sebanyak tiga kali bagi saingan Liga Super setakat ini.

Ahmad Syihan tewas buat kali pertama musim ini apabila gagal menyelamatkan sepakan penalti pemain import Kelantan FC, Leonardo Rolon, 9 Jun lalu biarpun menewaskan Kelantan FC 5-1, diikuti jaringan pemain import, Sony Norde ketika menewaskan Terengganu FC pada 11 Mac di Stadium Sultan Ibrahim, dan terbaru ketika menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-1 di venue sama pada 3 Julai.

Mengulas mengenai persiapan berdepan skuad Jang, Ahmad Syihan berkata, kesemua pemain dilihat berada pada tahap terbaik ketika ini dan bersedia untuk diturunkan.

Malah katanya, kesemua pemain juga sedia memberikan aksi lebih daripada 100 peratus bagi meneruskan momentum kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

“Persiapan pasukan di tahap terbaik ketika ini dan saya percaya pemain sedia memberikan lebih daripada 100 peratus jika diberikan peluang beraksi,” katanya.