Penjelasan solat dan beli-belah ketika pandemik

Pematuhan SOP dalam kalangan jemaah harus diberi perhatian bagi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 di masjid.
Pematuhan SOP dalam kalangan jemaah harus diberi perhatian bagi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 di masjid.
A
A
A

MERUNGKAI pertikaian masyarakat kenapa ke pasar raya beramai-ramai ketika Covid-19 boleh tetapi solat Jumaat dan fardu di masjid tidak dibenarkan?

1. Apakah solat Jumaat yang ditinggalkan dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran hukumnya berdosa?

Ya, hukumnya berdosa tetapi dalam keadaan darurat diharuskan seperti mana dalam maksud hadis, riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah SAW pernah memerintahkan bilal yang melaungkan azan supaya melaungkan azan dengan menambah seruan berikut: “Hendaklah kamu solat di rumah kamu” ketika cuaca malam bertambah sejuk dan ketika hujan turun dengan lebat.

Menurut Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’, hadis tersebut merupakan dalil gugurnya kewajipan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah dengan sebab adanya keuzuran apabila turun hujan lebat dan seumpamanya.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaily dalam Mausu’ah al-Fiqh al-Islamy, semua ulama dalam mazhab empat Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali menyebut turun hujan lebat, sakit, bimbang kemudaratan kepada diri sendiri, harta serta kehormatan, berada dalam tahanan, semuanya termasuk keuzuran yang mengharuskan untuk tidak menghadiri solat fardu berjemaah dan solat Jumaat.

2. Bagi penulis, solat Jumaat perlu diberikan pertimbangan khusus kerana hukumnya fardu ain dengan syarat-syarat yang telah digariskan dalam kitab fiqh bertunjangkan mazhab empat yang meletakkan ketetapan hukum berpandukan al-Quran, al-sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

Solat Jumaat mempunyai kaedah tersendiri tertakluk kepada bilangan minimum penduduk bermastautin yang mendirikannya secara berjemaah seperti huraian berikut – tiga orang tidak termasuk imam menurut Hanafi dan Syafie, 12 orang termasuk imam menurut Syafie, 12 orang tidak termasuk imam menurut Maliki, 40 orang termasuk imam menurut Syafie dan Hanbali (sila rujuk buku tulisan penulis Covid 19 ujian kepada manusia).

3. Perbandingan kapasiti solat Jumaat di Masjid Haram Makkah dengan masjid di Malaysia berdasarkan 1.5 peratus tahun 2020 ketika Covid-19 meningkat.

Artikel Berkaitan:

Di Masjid Haram, sejuta orang bersolat nisbahnya 15,000 orang, bermakna kapasiti 1,000 orang bersolat di masjid-masjid di Malaysia, nisbah 15 orang sahaja.

4. Penetapan angka tertentu yang berbeza dalam mazhab menimbulkan persoalan, adakah kadar minimum itu dilaksanakan oleh junjungan Nabi SAW ketika darurat atau bagaimana?

Menjawab persoalan itu, ulama usul mengemukakan satu kaedah 'suatu peristiwa yang disaksikan oleh seseorang tidak boleh diangkat sebagai hukum umum’ kerana penentuan bilangan tidak ditentukan oleh baginda secara lisan tetapi datang melalui perawi dalam kalangan sahabat yang menjadi saksi ketika mereka menunaikan solat Jumaat bersama Nabi SAW dalam angka berbeza-beza, namun yang pasti solat tersebut tidak dilakukan, melainkan secara berjemaah.

5. Kenapa pula ke pasar raya dibolehkan beramai-ramai, manakala solat fardu atau Jumaat dihadkan?

Perlu diingat, solat fardu lima waktu boleh dibuat pilihan sama ada di masjid atau di rumah tetapi ubat, susu anak, barang dapur terputus tiada pilihan – keperluan makanan untuk hidup.

Saya mencadangkan bilik solat (surau) perlu ditutup kerana ditakuti berlaku jangkitan Covid-19 ketika bersesak-sesak untuk bersolat seperti mana sabda Nabi SAW: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain.” (Maksud hadis riwayat Ibn Majah).

6. Bagi yang bimbang terlepas waktu Maghrib, boleh ta'khirkan solat Maghrib dalam waktu Isyak secara jamak tamam (bukan jamak qasar) ketika sampai di rumah.

Ia terpakai dalam keadaan darurat dan bukan amalan biasa. (Rujuk buku tulisan penulis Covid-19 ujian kepada manusia), cetakan tahun 2020/2021.

7. Punca yang membawa kepada penularan Covid-19 ketika ini adalah daripada tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat kita.

Hasil pemerhatian penulis di beberapa buah masjid mendapati, pematuhan SOP tidak berlaku.

Selesai sahaja solat, jemaah berkejaran pulang ke tempat kerja dan sebagainya yang tidak terkawal. Ada juga yang mengenakan pelitup muka di bawah dagu ketika solat.

Saya mencadangkan agar ahli jawatan kuasa masjid berperanan di tengah saf dan di saf belakang untuk memantau pematuhan SOP.

8. Pendakwah dan agamawan sepatutnya sama-sama mendokong aspirasi kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat dari masa ke masa serta mengajak masyarakat mengambil vaksin adalah wajib, bukannya harus kerana agak kritikal berbanding tahun 2020.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di New Zealand, tahap vaksinasi untuk rakyatnya telah mencapai 100 peratus pada Mei 2021 dengan sifar kematian dan sifar kes positif, barulah ekonomi negara berkembang dan rakyat mendapat faedah.

Kewajipan berdakwah tidak hanya di masjid dan surau tetapi usaha dakwah mestilah berterusan, penuh keikhlasan serta istiqamah.

Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin berdakwah tanpa meminta upah, bahkan dalam mazhab Syafie, harus menerima upah dengan syarat tanpa meminta (demand) dan keikhlasan pemberi.

Mazhab Hanafi, hukum menerimanya haram bersandarkan surah Shaad ayat 86 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) - Aku tidak meminta bayaran (upah) sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk orang- orang yang mengada-ngada.”

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 41 yang bermaksud: “Dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat Ku (sebagai harga untuk mendapatkan keuntungan) untuk membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.”

Firman ALLAH SWT lagi dalam surah Yasin ayat 21 yang bermaksud: “Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan (upah), sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk.”

Berdakwahlah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan agar hasil dakwah itu akan terkesan di hati insan.

* Datuk Mohamad Din Yusoh ialah penulis buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia