9,020 kes positif Covid-19, rekod tertinggi hari ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kes harian Covid-19 terus memecahkan rekod baharu apabila Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 9,020 kes positif Covid-19 dan 98 kematian pada Sabtu.

Angka tersebut merupakan yang tertinggi selama lima hari berturut-turut bermula Selasa lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini sebanyak 558,534 kes.

Menurut beliau, semua negeri dan wilayah merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan Selangor kekal negeri tertinggi iaitu 2,836 kes.

"Ia diikuti Kelantan (907), Negeri Sembilan (898), Kuala Lumpur (789), Sarawak (726) manakala Johor dan Kedah masing-masing (468).

“Selain itu, Pulau Pinang pula merekodkan 345 kes, Melaka (340), Perak (272), Sabah (265), Labuan (253), Pahang (216), Terengganu (189), Putrajaya (29) dan Perlis (19),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 76,218 kes aktif di seluruh negara yang mana 844 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Seramai 430 pesakit lagi memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah kematian yang dilaporkan melibatkan 27 kes di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur masing-masing 14 kes, Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing lapan kes serta Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing lima kes.

“Di Sabah dan Terengganu pula masing-masing empat kes, Pahang (tiga), Kelantan (dua), Melaka (dua), Perak (satu) dan Labuan (satu).

"Justeru, jumlah kumulatif kematian setakat ini adalah 2,650 kes," kata Dr Noor Hisham.

Bagaimanapun, beliau berkata, seramai 5,527 pesakit telah disahkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 479,666 kes.

Katanya, KKM turut mengenalpasti 23 kluster baharu Covid-19 sekaligus menjadikan jumlahnya keseluruhan kluster, 2,146.

"Jumlah kluster yang telah tamat adalah 1,516 kluster manakala 630 masih aktif," katanya.

Berdasarkan data yang dikeluarkan KKM, 21 kluster baharu tersebut membabitkan masing-masing lapan kluster tempat kerja dan komuniti, enam kluster keagamaan serta satu kluster pendidikan swasta.