Warga Jerman ugut potong tangan jiran

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Berang akibat ditegur menanam pokok di hadapan rumah jiran, seorang lelaki warga Jerman mengugut mahu memotong tangan jirannya itu dalam kejadian di Taman Desa Permai di sini pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, lelaki berusia 60 tahun itu menceroboh rumah jirannya dan melakukan beberapa kerosakan.

"Ketika kejadian, mangsa dan isterinya berada di rumah. Lelaki itu dilihat masuk ke kawasan tempat letak kereta jirannya itu dan menyebabkan kerosakan pada tayar kereta mangsa.

"Mangsa kemudian membuka pintu rumahnya sebelum lelaki itu mengugut mahu memotong tangan mangsa," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa sebelum ini menegur lelaki berkenaan kerana menanam pokok di hadapan rumahnya dan di taman permainan berdekatan.

"Mangsa merupakan ahli jawatankuasa penduduk taman perumahan berkenaan telah menegur perbuatan lelaki itu. Ini kerana lelaki itu tidak mengurus dengan baik tanaman yang ditanam suspek itu.

"Siasatan turut mendapati suspek sebelum ini pernah mendapat rawatan psikiatri namun telah selesai mendapatkan rawatan berkenaan. Bagaimanapun dia kadangkala sukar untuk mengawal diri," katanya.

Tambah beliau, polis sudah mengambil keterangan daripada lelaki berkenaan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427, 447 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.