X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf diserahkan kepada Filipina

Laporan Sinar Harian pada 10 Mei lalu.
A
A

SANDAKAN - Lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan pasukan keselamatan Malaysia di Beaufort pada 8 Mei lalu diserahkan kepada pasukan keselamatan Filipina pada Jumaat, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata penyerahan itu dilakukan di perairan sempadan Malaysia-Filipina oleh Jabatan Imigresen Malaysia yang diwakili Ketua Penguatkuasa Imigresen Sandakan, Muhammad Isa Hasley kepada Western Mindanao Command dan Joint Task Force Sulu diwakili Briged Jeneral Arturo G Rojas.

"Penyerahan ini dilakukan pada jam 8.30 pagi tadi menggunakan kuasa di bawah Seksyen 32 (1) Akta Imigresen, kita keluarkan mereka dari Malaysia...seorang daripada mereka yang diserahkan itu adalah 'sub-leader' dalam Abu Sayyaf yang dikehendaki oleh pasukan keselamatan Filipina.

"Hasil siasatan juga mendapati seorang daripada mereka mengaku terlibat dalam beberapa siri penculikan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya kepada pemberita selepas penyerahan tahanan itu di sini pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut siapa individu yang terlibat dengan kegiatan penculikan di ESSZone itu.

Pada 8 Mei lalu, polis bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dalam operasi khas pada jam 3 pagi di kawasan paya bakau di Taman Sri Arjuna, Beaufort.

Dalam pada itu, Hazani berkata, pasukan keselamatan akan meningkatkan kawalan keselamatan dan risikan di negeri ini bagi mengesan jika masih terdapat saki-baki ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf itu yang berbaiah dengan militan Daesh.

"Usaha mengesan kita teruskan kerana kita takut masih ada saki-baki (pengganas) yang menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian dan menyampaikan dakyah kepada penduduk tempatan dan rakan senegara atau kepada pendatang haram lain," katanya.

Hazani berkata, sejak 2014 hingga kini, pasukan keselamatan telah menahan 83 ahli kumpulan pengganas di Sabah. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!