'Tangan nakal' alihkan konkrit pengadang jalan

Konkrit pengadang di Jalan Bangau Tanjung menghala ke bandar Temerloh yang dialihkan pada Jumaat.
Konkrit pengadang di Jalan Bangau Tanjung menghala ke bandar Temerloh yang dialihkan pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di daerah ini menyaksikan sudah ada 'tangan nakal' bertindak memindahkan konkrit pengadang jalan yang diletakkan pihak berkuasa.

Dua mukim terbabit iaitu mukim Perak dan mukim Bangau dikenakan PKPD bermula 12.01 tengah malam Jumaat sehingga 10 Jun depan.

Bagaimanapun, konkrit pengadang jalan yang diletakkan di Jalan Bangau Tanjung, mukim Bangau menghala ke bandar Temerloh dikesan sudah dialihkan oleh pihak yang tidak diketahui pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 7 pagi Jumaat.

Beliau berkata, selepas menerima laporan, pihak berkuasa meletakkan semula konkrit pengadang jalan berkenaan ke tempat asal serta memasang kawat besi sebagai tambahan.

Kawat besi mula dipasang di Jalan Bangau Tanjung menghala ke bandar Temerloh pada Jumaat.
Kawat besi mula dipasang di Jalan Bangau Tanjung menghala ke bandar Temerloh pada Jumaat.

"Kita berharap orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak melanggar peraturan ditetapkan sepanjang tempoh PKPD.

"Ia penting untuk membendung penularan pandemik Covid-19 di daerah ini," katanya pada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi mukim Perak, beberapa lokasi terlibat dengan PKPD, antaranya ialah bandar Temerloh, Kampung Belengu, Kampung Pangsenam, Kampung Buntut Pulau, Tanjung Lalang, Jalan Bahagia dan Kampung Batu Satu serta taman-taman perumahan sekitar.

Bagi mukim Bangau pula, ia membabitkan beberapa lokaliti, antaranya ialah Kampung Bangau Parit,

Kampung Telok Ira, Kampung Tanjung Besar, Kampung Bukit Resak dan Kampung Gau Baru.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan ketara kes baharu dalam tempoh 10 hari iaitu sebanyak 180 kes positif direkodkan hasil ujian saringan ke atas seramai 1,433 orang di kedua-dua mukim tersebut.