X

Kindly register in order to view this article
!

Suntikan vaksin: Saran beri amaran dahulu sebelum denda

Reaksi orang ramai yang hadir untuk mendapatkan suntikan dos pertama Vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu terlebih dahulu memberi peringatan kepada individu yang tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin Covid-19 sebelum mengenakan denda atau kompaun kepada kumpulan terbabit.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, hukuman denda seharusnya menjadi jalan terakhir kerana majoriti rakyat ketika ini sudah pun tertekan dengan keadaan semasa penularan Covid-19.

“Sama ada mereka patut didenda atau tidak, saya rasa belum sampai ke tahap denda kerana tindakan sedemikian bakal menyusahkan rakyat.

“Pada waktu sekarang, kita tahu bahawa banyak pihak terjejas oleh kerana isu Covid-19, ekonomi dan sebagainya.

“Jadi saya rasa pihak kerajaan perlu terlebih dahulu memberikan amaran dan penerangan mengenai betapa seriusnya janji temu pengambilan vaksin tersebut kerana ia mungkin meningkatkan kesedaran rakyat mengenai perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Lam Thye menambah, kerajaan perlu menyiasat punca kumpulan terbabit tidak hadir ke temu janji tersebut kerana mungkin mereka takut untuk disuntik vaksin setelah terdedah dengan penyebaran maklumat yang tidak betul mengenai vaksin.

Turut bersetuju dengan Lam Thye ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha yang berpendapat bahawa ada kemungkinan individu yang tidak hadir itu memiliki alasan yang kukuh seperti faktor keuzuran dan masalah pengangkutan.

“Penalti atau denda perlu dijadikan sebagai langkah terakhir selepas kesemua usaha seperti pendaftaran secara sukarela dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin pula berkata, tindakan kompaun bakal menambahkan lagi beban rakyat ketika ini.

Katanya, kerajaan perlu menyemarakkan lagi kempen kesedaran manfaat vaksin dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di samping mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!