X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah jemaah solat Jumaat, fardu di Wilayah Persekutuan dihadkan

Hanya 50 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan bagi masjid dan surau Jumaat berkapasiti 1,000 jemaah ke atas, manakala 20 jemaah bagi berkapasiti 1,000 ke bawah sepanjang pelaksanaan PKP. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula Jumaat, hanya 50 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan bagi masjid dan surau Jumaat yang berkapasiti 1,000 jemaah ke atas, manakala 20 jemaah bagi yang berkapasiti 1,000 ke bawah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, bagi solat fardu di masjid, surau Jumaat dan surau, bilangan jemaah dibenarkan adalah tidak melebihi 12 orang yang terdiri daripada pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa (AJK) sahaja.

"Bagaimanapun, bagi solat Jumaat dan solat fardu di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bilangan jemaah dibenarkan hanya 12 orang sahaja yang terdiri dari imam, bilal, noja dan AJK.

"Bagi solat fardu di surau PPR dan PA DBKL, bilangan jemaah dibenarkan hanya tiga orang sahaja yang terdiri daripada imam, bilal dan noja atau AJK," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor, manakala bagi solat fardu dibenarkan dengan bilangan jemaah tiga orang sahaja iaitu imam, bilal dan noja atau AJK.

Katanya, di kawasan PKPD juga, pengurusan jenazah yang melibatkan bukan pesakit Covid-19 hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan had maksimum jurumandi dan petugas seramai lima orang.

"Solat jenazah hendaklah tidak melebihi 12 orang jemaah serta kehadiran bagi pengebumian jenazah tidak melebihi 15 orang termasuk ahli keluarga terdekat," katanya sambil menambah penjarakan fizikal 1.5 meter perlu dilaksanakan di semua masjid, surau dan surau Jumaat. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!