X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Dua petugas komunikasi korporat UIAM didakwa terima rasuah

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Dua petugas Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM69,892, tujuh tahun lalu.

Mohd Hakimi Badrol Afandi, 44, berjawatan penolong pengarah dan Yusri Said, 49, pembantu tadbir kanan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mohd Hakimi didakwa atas satu pertuduhan menerima suapan RM5,000 daripada Ahmad Shukri Abdul Ghani sebagai dorongan untuk melakukan suatu perbuatan iaitu membantu memudahkan urusan sebuah syarikat mendapatkan kerja berkaitan baucar bayaran bagi ‘Exhibition Panels’ (EZ Line 20) bertarikh 7 Mac 2014.

Tertuduh juga didakwa dengan satu pertuduhan pilihan iaitu menerima sesuatu barang berharga iaitu wang tunai RM5,000 tanpa sebarang balasan daripada individu sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya berkaitan baucar serupa.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di daerah Gombak pada 12 Mac 2014.

Yusri pula didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan wang tunai dan cek berjumlah keseluruhan RM64,892 daripada Ahmad Shukri untuk memudahkan urusan dua syarikat mendapatkan kerja berkaitan baucar bayaran bertarikh 5 Februari 2013 hingga 11 November 2014 bagi kerja penerbitan, percetakan, booth dan baik pulih galeri di universiti berkenaan serta bayaran pendahuluan pembelian dan ‘body kit’ sebuah kereta.

Dia turut menghadapi sembilan pertuduhan pilihan iaitu memperoleh secara rasuah satu suapan dengan jumlah dan daripada individu sama sebagai dorongan melakukan suatu perbuatan dengan hal ehwal prinsipnya iaitu memudahkan urusan mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucer bayaran bertarikh 5 Februari 2013 hingga 11 November 2014.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di sekitar Batu Caves dan Pusat Bandar Sri Gombak antara 8 Februari 2013 hingga 30 Mac 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Mohd Hakimi diikat jamin RM5,000 manakala Yusri RM30,000 dengan masing-masing seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta 29 Jun ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Norman Mohd Nasir. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!