Syed Saddiq dakwa tak terima jemputan mesyuarat khas wakil rakyat

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa tidak menerima sebarang jemputan atau apa-apa maklumat berkenaan mesyuarat khas wakil rakyat Johor pada Khamis.

Syed Saddiq berkata, maklumat berhubung mesyuarat khas tersebut hanya diketahui daripada rakan sejawatannya.

"Semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor telah menerima maklumat bahawa mesyuarat ini akan diadakan secara maya di pejabat daerah masing-masing, namun saya tidak terima maklumat itu melainkan daripada rakan sejawatan saya.

"Saya sudah mendaftarkan maklumat diri bagi menyertai mesyuarat berkenaan menerusi maklumat surat rakan sejawatan, namun masih belum terima apa-apa maklumat.

"Saya dimaklumkan Pejabat Menteri Besar menggunakan e-mel lama yang sudah tidak berfungsi walaupun pejabat saya sudah lama menukar e-mel rasmi yang baharu," kata beliau dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, sekiranya beliau mengetahui lebih awal dari Pejabat Daerah Muar, beliau boleh meminta diberikan kelonggaran waktu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang melakukan siasatan terhadapnya pada Khamis.

"Ini adalah satu hal yang malang kerana saya ada tanggungjawab dan amanah untuk dipikul kepada rakyat Parlimen Muar.

"Jika saya tahu lebih awal dari Pejabat Daerah Muar, saya boleh minta sedikit kelapangan waktu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang melakukan siasatan terhadap saya dalam satu kes untuk memberi kebenaran ke mesyuarat secara maya yang diadakan di setiap pejabat daerah masing-masing hari ini (Khamis)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada minggu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pentadbiran kerajaan negeri, semua ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini supaya memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 segera dibendung.

Susulan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memanggil mesyuarat khas Covid-19 pada Khamis seterusnya memberi jaminan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).