X

Kindly register in order to view this article
!

Majlis Presiden PH desak Darurat ditamatkan, buka segera Parlimen

Majlis PH mendesak supaya Ordinan Darurat ditamatkan dan Parlimen segera dibuka bagi memulihkan demokrasi di negara.
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak supaya Ordinan Darurat ditamatkan dan Parlimen segera dibuka bagi memulihkan demokrasi di negara.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pada Khamis berkata, sejak darurat berkuatkuasa 11 Januari lalu sehingga kini kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat masih gagal menangani wabak Covid-19.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

Menurut beliau, ia dibuktikan dengan peningkatan mendadak kes positif wabak itu serta angka kematian juga turut bertambah dengan ketara sejak kebelakangan ini.

"Walau diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, namun berdasarkan data dan bukti sedia ada, jelas kuasa Darurat ini tidak berjaya mengekang penularan wabak Covid-19, sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius. Kerajaan PN telah gagal.

"Oleh itu, Majlis Presiden menegaskan melalui wakil PH di dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bahawa Darurat ini bukan sahaja tidak perlu dipanjangkan lebih dari 1 Ogos 2021, malah perlu ditamatkan segera. Parlimen harus bersidang segera untuk memulihkan demokrasi," katanya.

Anwar berkata, sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, PH terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil mereka dalam Jawatankuasa tersebut.

"Atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan sebagai 'pelitup muka' untuk mengiakan segala penggunaan kuasa Darurat yang mengetepikan Parlimen," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut strategi menangani Covid-19 sedia ada memerlukan penjajaran semula (realignment).

"Majlis Presiden telah mengarahkan Jawatankuasa-Jawatankuasa PH yang berkaitan untuk mengadakan perbincangan segera bagi meneliti dasar-dasar yang diperlukan untuk menyelamatkan negara daripada pandemik ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Azalina kembali desak Parlimen bersidang


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!