Geng samun warga asing tumpas

Geng samun warga asing tumpas
Geng samun warga asing tumpas
A
A
A

PETALING JAYA - Polis memberkas tiga penjenayah yang mensasarkan warga asing sebagai mangsa samun dalam serbuan di Damansara Utama, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun kerana disamun dalam kejadian kira-kira jam 9 malam Jumaat lalu.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera akibat dipukul selain diacukan pisau ketika pulang dari tempat kerja.

"Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Damansara berjaya menahan suspek berusia 18 hingga 22 tahun pada keesokan hari dipercayai terbabit dalam jenayah terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Fakhruddin berkata, pihaknya telah merampas pelbagai barang dipercayai hasil kegiatan samun antaranya empat telefon pintar, dua dompet dan beg sandang serta wang tunai berjumlah RM134.

Katanya, semakan turut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan merusuh.

"Hasil soal siasat kesemua suspek mengaku terlibat dalam lima kes samun berkawan tanpa senjata api di daerah ini dengan bertindak agresif mencederakan mangsa sebelum mengambil barang berharga.

"Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: