'Tolong periksa aplikasi MySejahtera anda sekarang'

Tangkap layar warganet yang berjaya menempah temu janji vaksin Covid-19 AstraZeneca meskipun gagal berbuat demikian pada Rabu.
Tangkap layar warganet yang berjaya menempah temu janji vaksin Covid-19 AstraZeneca meskipun gagal berbuat demikian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ramai rakyat Malaysia kecewa selepas gagal mendapat janji temu untuk pendaftaran tempahan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang dibuka pada Rabu, bagaimanapun hari ini sebahagian mereka mendapat berita gembira apabila berjaya membuat tempahan vaksin setelah mengemas kini aplikasi MySejahtera.

Mereka yang terkejut dengan perkembangan tersebut berkongsi kegembiraan di Twitter dan menyarankan kepada orang ramai yang kecewa tidak berjaya menempah vaksin itu agar segera melakukan semakan di MySejahtera.

Kata @lapetitemaligne, "Sila periksa MySejahtera jika anda telah cuba menempah semalam namun tidak mendapat pengesahan. Rakan saya kini berjaya mendapat tempahan vaksin".

Begitu juga saranan @syahredzan, kepada mereka yang cuba membuat tempahan vaksin Covid-19 AstraZeneca tetapi gagal, agar melakukan semakan MySejahtera hari ini.

"Mungkin sebenarnya anda berjaya mendapat tarikh temu janji," ciapnya.

Ujar @Zara_Syed pula, "Saya daftarkan 'parent' saya yang lahir 1961 Ahad lepas. Alhamdulillah 'check' malam tadi ada. 'Check' di laman web keluar sama macam encik sedang diproses. Cuba 'direct check' di aplikasi MySejahtera yang 1961. 'Hopefully' ada macam kes 'parent' saya".

Situasi sama juga dikongsi oleh @iamijaa apabila gembira mendapat tempahan janji temu vaksin itu meskipun tempat dan masa diberikan secara rawak.

"Berita baik kepada mereka yang 'berjuang' untuk mendapatkan vaksin semalam. Tolong periksa aplikasi MySejahtera anda SEKARANG!! SAYA DAPAT!!! Alhamdulillah," ciap @drucederus turut menunjukkan tangkap layar tarikh tempahan temu janji vaksin pada 30 Jun di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun ramai juga yang masih gusar apabila belum menerima sebarang maklumat janji temu meskipun sudah berjaya membuat tempahan pada Rabu.

Sementara itu, menerusi ciapan di Twitter rasmi Vaksin Covid-19 pada Khamis menyatakan janji temu bagi tempahan AstraZeneca pusingan kedua telah mula diberikan sejak malam tadi.

"Bagi mereka yang berjaya membuat tempahan tetapi masih belum menerima janji temu, jangan bimbang. Janji temu anda akan dapat dilihat dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

Lebih sejuta vaksin AstraZeneca bagi pusingan kedua untuk individu bawah 60 tahun yang mula dibuka jam 12 tengah hari pada Rabu 'laris' ditempah dalam tempoh sejam dan sistem pendaftaran sudah ditutup.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi Twitter berkata, mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, sebanyak 1,261,600 dos diperuntukkan untuk pusingan kedua inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) berikutan penghantaran vaksin pada 21 Mei lalu dan satu lagi dijadualkan hujung bulan ini.

Program imunisasi kebangsaan kini memasuki fasa kedua bermula sejak 19 April lalu selepas fasa pertama pada 24 Februari lalu diberikan kepada kumpulan petugas barisan hadapan.