Warga Rohingya kumpul dana bantu Palestin

Mohd Ismail (kanan) menyerahkan cek replika dana berjumlah RM51,374 kepada Mohd Shah (kiri) di Surau An-Nur Taqwa, Puchong pada Rabu.
Mohd Ismail (kanan) menyerahkan cek replika dana berjumlah RM51,374 kepada Mohd Shah (kiri) di Surau An-Nur Taqwa, Puchong pada Rabu.
A
A
A

PUCHONG - “Bagaimana keluarga dan saudara-saudara saya di Myanmar dibunuh, hanya kami warga Rohingya yang memahami keadaan di Palestin.”

Demikian kata-kata Pengerusi Rohingya Education Garden, Mohd Ismail Khairul Bashar yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM51,374 bagi membantu warga Gaza, Palestin yang sedang bergolak dalam peperangan.

Beliau ketika ditemui pemberita di Surau An-Nur Taqwa, di sini pada Rabu berkata, dana tersebut berjaya dikumpulkan dalam masa seminggu daripada komuniti Rohingya dan seluruh Malaysia.

Menurutnya, dana tersebut diserahkan kepada Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam untuk proses agihan seterusnya bagi membantu warga Gaza dalam masa terdekat.

“Jumlah yang berjaya dikumpulkan tidak banyak kerana ramai orang tidak bekerja waktu PKP, tapi kami faham keadaan tersebut.

“Jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat yang membantu kerana walaupun kami datang ke sini bukan nak kaya, tapi kami harap dapat pulang ke negara asal,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam, Mohd Shah Sapiei berkata, bantuan tersebut akan disalurkan kepada rakan strategik mereka di Gaza bagi membantu masyarakat di sana dalam pelbagai aspek.

“Seperti yang kita tahu, mereka ini (warga Rohingya) tidak mempunyai kerja dan pendapatan tetap, tapi atas semangat ukhuwah Islam, mereka berjaya mengumpul jumlah yang cukup banyak.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan berikan pek makanan dan kit kesihatan memandangkan kes Covid-19 di sana juga bertambah buruk serta bantuan minyak diesel kepada pihak hospital di sana secara mingguan.

“Kami juga dalam perancangan berusaha untuk menghantar bantuan kewangan berjumlah RM200,000 kepada rakan strategik kami di sana,” katanya.