MU boleh labuh tirai kegemilangan di Gdansk

Maguire (kanan) diasak pemain tengah Aston Villa, Bertrand Traore semasa aksi liga di Villa Park, Birmingham pada 9 Mei lalu.
Maguire (kanan) diasak pemain tengah Aston Villa, Bertrand Traore semasa aksi liga di Villa Park, Birmingham pada 9 Mei lalu.
A
A
A

MANCHESTER United berjaya menunjukkan peningkatan konsisten pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila mengakhiri cabaran dengan status naib juara.

Namun bagi kapten The Reds Devils, Harry Maguire, status kedua terbaik liga Inggeris itu masih belum cukup terbaik buat kelab berprestij dan gergasi dunia seperti Manchester United.

Malah jelas bekas pemain Leicester City itu, anak buah Ole Gunnar Solskjaer tersebut masih mampu melabuh tirai musim ini pada tahap tertinggi dengan meraih kejuaraan Liga Europa.

“Pencapaian Manchester United pada musim ini lebih baik berbanding musim lalu, itu sesuatu yang tidak dapat dinafikan dengan komitmen semua pemain-pemain kelab ini.

“Sejujurnya musim ini Manchester United berada pada tahap terbaik sehingga mampu memberikan cabaran sengit kepada Manchester City, namun pujian perlu diberikan kepada The Citizens berdasarkan persembahan sepanjang musim mereka.

“Manchester City mampu menjarakkan diri lebih awal daripada pesaing lain, pada ketika Manchester United keciciran mata dalam perlawanan tertentu liga sebelum ini.

“Sebenarnya, Manchester United mampu melakukan yang lebih baik dan lebih garang dalam beberapa perlawanan yang sepatutnya dimenangi dengan semangat dalam kalangan pemain-pemain,” katanya.

Anak buah Solskjaer yang mengakhiri cabaran berstatus naib juara EPL ketinggalan 12 mata di belakang skuad kendalian Pep Guardiola berpeluang membawa trofi pertama ke Old Trafford musim ini sekiranya menewaskan Villarreal pada perlawanan akhir Liga Europa awal pagi Khamis ini.

Artikel Berkaitan:

Maguire bakal terlepas aksi akhir di Stadion Energa Gdansk, Poland itu sekiranya masih belum sembuh sepenuhnya kecederaan dialami ketika membantu Manchester United membaham Aston Villa, 3-1 dalam aksi Liga baru-baru ini.

Status bintang Manchester United itu juga mengundang kebimbangan kepada pengendali England, Gareth Southgate, dalam melengkapkan senarai The Three Lions bagi kempen Euro 2020.