Tiga lelaki potong kawat besi sempadan negeri untuk bersiar-siar

Suspek memotong dawai yang mengikat kawat besi untuk bersiar-siar bersama dua rakannya ke kawasan PKPD Hulu Bernam Timur. - Foto ihsan PDRM
Suspek memotong dawai yang mengikat kawat besi untuk bersiar-siar bersama dua rakannya ke kawasan PKPD Hulu Bernam Timur. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

TANJUNG MALIM - Tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan selepas merentas negeri dengan memotong kawat duri di laluan tikus jambatan sempadan Ulu Bernam- Tanjung Malim, Kampung Lambak di sini pada Selasa.

Perbuatan tiga lelaki tersebut berjaya dikesan sepasukan polis yang menjalankan tugas pemantauan Ops Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Bernam Timur itu kira-kira jam 2.20 petang.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, ketiga-tiga suspek berusia 21 hingga 53 tahun itu mengaku memotong dawai yang mengikat kawat besi untuk melintas dari Changkat Asa, Ulu Bernam ke kawasan itu untuk bersiar-siar.

"Semakan yang dijalankan mendapati seorang warga Indonesia telah tinggal lebih masa di negara ini manakala rakan senegaranya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Seorang lelaki tempatan yang bersama mereka mempunyai rekod lampau dalam jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dan akan mendapatkan perintah reman pada Rabu.

"Mereka ditahan di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas kawat duri serta Seksyen 269 kanun yang sama.

"Satu kompaun bernilai RM5,000 dikeluarkan terhadap lelaki warga tempatan itu manakala dua yang lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: