Siasatan insiden LRT harus dilakukan dengan telus

Syed Ibrahim
Syed Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden kemalangan yang melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru pada Isnin adalah suatu yang mengejutkan dan serius.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, dalam hal itu, penekanan wajar diberikan kepada pemeriksaan aspek-aspek yang mengakibatkan kemalangan secara terperinci.

Beliau berkata, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali harus bertanggungjawab dalam memastikan ketelusan siasatan memandangkan tahap kemalangan yang serius.

Dalam masa sama, Syed Ibrahim berkata, Kementerian Pengangkutan serta pihak berkenaan juga wajar memantau perkembangan keadaan mangsa-mangsa dan orang awam yang terlibat.

"Kementerian wajar terus mengemaskini maklumat berkenaan prosedur keselamatan kepada rakyat supaya tidak timbul isu kebimbangan terhadap penggunaan kenderaan awam terutamanya LRT," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim yang juga merupakan Jurucakap Pengangkutan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa agar penetapan pengurangan kekerapan perjalanan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah MyRapid dinilai semula kerana ia akan membawa kepada kesesakan semasa waktu puncak.

"Seperti yang dikongsi dalam media sosial hari ini (Selasa) kesesakan berlaku di stesen-stesen tumpuan semasa waktu puncak orang awam ke tempat kerja," katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pengumuman Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Selasa berkenaan pengurangan kekerapan perjalanan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah MyRapid susulan berlaku insiden berkenaan.

Artikel Berkaitan: