Kagum dengan pasukan Uni KLINIK

No Image Caption
A
A
A

SAYA telah menerima vaksinasi AstraZeneca (AZ) di Stesen 3, Pusat Pemberian Vaksin World Trade Centre (PPV-WTC), dulunya PWTC di Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu.

Tiada kesan sampingan serius yang saya alami. Sekadar sakit-sakit pada lengan di mana vaksinasi dilakukan.

Demam pada hari kedua pada sebelah malam. Sedikit sakit-sakit pada sendi. Rasa berat kepala dan mengantuk pada hari pertama dan kedua. Saya tidak mengalami cirit-birit atau muntah.Saya mengikut nasihat doktor untuk mengambil Panadol sebelum tidur selepas disuntik dan setiap enam jam kalau perlu. Nampaknya reaksi vaksinasi itu berbeza-beza bergantung pada reaksi badan masing-masing. Masuk hari ketiga, saya kembali macam biasa.

Stesen 3 di PPV-WTC di mana saya menerima vaksin saya dikendalikan oleh Uni KLINIK, sebuah rangkaian perubatan yang dibangunkan dengan sokongan Bahagian Infrastruktur Komersial Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Uni KLINIK merupakan antara lima fasiliti perubatan swasta yang telah dilantik kerajaan Malaysia untuk menguruskan pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat dalam usaha menghentikan penularan wabak Covid-19.PPV-WTC secara rasmi dibuka pada jam 9 pagi hingga 6 petang. Tetapi ia hanya benar-benar ditutup pada jam 9 malam setelah mereka yang hadir untuk mendapat vaksinasi selesai disuntik.Proses mendapatkan vaksinasi yang saya lalui mengambil masa satu jam.

Saya tiba di pusat pendaftaran PPV-WTC pada jam 7.50 malam dan 60 minit kemudian, saya dibenar pulang.

Proses vaksinasi itu bermula dengan pendaftaran, diikuti dengan penyemakan data dalam aplikasi MySejahtera, sesi konsultasi dengan pakar perubatan, vaksinasi dan pemerhatian pascavaksinasi selama 15 minit.

Saya disuntik pada jam 8.27 malam dan tepat jam 8.34, saya telah berada di bilik pemerhatian. Saya ditempatkan di sana untuk tempoh 15 minit bagi tujuan memantau sebarang reaksi pascavaksinasi yang tidak diingini, jika ada.

Artikel Berkaitan:

Saya beruntung kerana sepanjang berada di Stesen 3, saya dilayan mesra oleh Dr Nazif Nor Rahim yang mengetuai pasukan perubatan Uni KLINIK.

Dalam keadaan biasa, beliau berkhidmat di Uni KLINIK di Sendayan, Negeri Sembilan.

Dr Nazif, tanpa diminta, memberi layanan kelas pertama kepada saya dan juga penerima vaksin yang lain di stesen jagaan beliau.

Semasa sesi konsultasi, beliau tekun melayan apa-apa juga pertanyaan yang diajukan mengenai AstraZeneca terutama kebimbangan bahawa siapa yang menerima vaksin buatan Universiti Oxford itu berpotensi untuk mengalami pembekuan darah seperti yang terjadi pada sebilangan kecil penerima vaksin tersebut di negara-negara Eropah.Beliau tidak menafikan kemungkinan itu, tetapi berpendapat dan yakin AZ tetap selamat digunakan oleh rakyat negara ini. Beliau sendiri telah menerima dos pertama AZ.

Sehingga kini, tiada kes individu yang menerima AZ mengalami pembekuan darah di negara ini.

Dalam perjalanan menghantar saya ke bilik pemerhatian, saya bertanyakan apakah beliau dan pasukan perubatan tidak letih kerana terpaksa bekerja sampai 12 jam sehari.

Katanya, apa-apa yang mereka lakukan di PPV-WTC tidaklah seteruk yang dialami oleh rakan-rakan doktor lain di hospital kerajaan merawat pesakit Covid-19 yang bertarung nyawa.

Kata beliau: “Di sana rakan-rakan saya bertungkus-lumus menyelamatkan pesakit yang dijangkiti Covid-19.

“Kami di sini pula berusaha sedaya upaya menyelamatkan mereka yang belum dijangkiti. Inilah yang dapat kami lakukan untuk hentikan penularan virus itu dalam kalangan rakyat.”

Saya kagum dengan apa yang dilakukan oleh pasukan perubatan Uni KLINIK di Stesen 3 PPV-WTC.

Justeru, kalangan yang disenaraikan oleh MySejahtera untuk menerima vaksin AstraZeneca pada waktu ini, jangan lagi menoleh ke belakang, maju terus ke hadapan dan datanglah untuk mendapatkan vaksinasi anda.

Jangan takut dengan AstraZeneca!

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)