Sindiran bukan satu perbuatan jenayah

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan memang terkejut dengan tindakan Polis Nilai, Negeri Sembilan yang memulakan satu siasatan berhubung kenyataan dimuat naik pemilik akaun Facebook N9 Radar kerana telah menyebabkan kegentaran awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang awam.

Menurut kenyataan kelmarin, pemilik akaun Facebook itu didapati membuat hantaran yang memaparkan satu gambar dengan mesej ‘Nilai 3 terletak di negeri Selangor Darul Ehsan’.

Siasatan itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan. Umum mengetahui bahawa gambar itu adalah satu bentuk sindiran semata-mata kerana orang ramai marah dengan tindakan selebriti, Noor Neelofa yang merentas daerah ke Nilai 3 tetapi tidak dikenakan tindakan.

Merak Jalanan berasakan tindakan pihak polis menyiasat sindiran itu sebagai keterlaluan. Menurut seorang sahabat yang merupakan peguam, ia bukan satu bentuk fitnah dan tidak mempunyai sebarang asas perbuatan jenayah, malah masyarakat juga bijak dan tahu apa yang ingin disampaikan pemilik akaun itu.

Jelas sahabat Merak Jalanan itu juga, kes melibatkan pereka grafik, Fahmi Reza daripada tuduhan memuat naik imej badut menyerupai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Instagram miliknya boleh dijadikan sebagai rujukan. Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Fahmi Reza selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan itu mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 6 Jun 2016, Fahmi Reza mengaku tidak bersalah menggunakan perkhidmatan Instagram ‘Kuasasiswa’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 31 Januari lalu.

Artikel Berkaitan: