Tujuh termasuk warga emas dicekup berjudi di kebun

Wang tunai yang dirampas dalam serbuan di kebun buah naga di Tanah Merah Site A, Lukut, Port Dickson pada Ahad.
Wang tunai yang dirampas dalam serbuan di kebun buah naga di Tanah Merah Site A, Lukut, Port Dickson pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Tujuh lelaki termasuk warga emas ditahan ketika sedang leka berjudi dalam serbuan di kebun buah naga di Tanah Merah Site A, Lukut dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 5.45 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson.

Menurut beliau, sebaik sahaja sampai pasukan serbuan melihat sekumpulan lelaki sedang leka berjudi dengan kedudukan mengelilingi sebuah meja.

"Selepas menyedari kehadiran polis, beberapa individu cuba melarikan diri namun kesemua mereka berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan di atas meja dan individu terlibat, polis merampas perkakasan perjudian serta wang tunai sejumlah RM11,647 (termasuk wang di atas meja)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Aidi Sham berkata, kesemua mereka turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Suspek yang ditahan berumur lingkungan 24 hingga 74 tahun itu kini ditahan di lokap Balai Polis Port Dickson," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di tempat bebas dan Per 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 P. U. (A) 225.

Artikel Berkaitan:

Turut disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 P.U. (A) 225, mereka boleh dikenakan hukuman denda RM1,500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.