X

Kindly register in order to view this article
!

'Kalau mati, Mak Teh yang bertanggungjawab'

Video yang dikongsikan menerusi Facebook Dr Mahathir pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas seorang individu yang dikenali sebagai ‘Mak Teh’ kerana menyebarkan berita tidak benar berkenaan kes kematian akibat pengambilan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, dakwaan menerusi rakaman suara yang tular di media sosial itu adalah tidak berasas dan tidak sahih.

Menurutnya, perbuatan itu satu tindakan tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mempengaruhi orang ramai untuk tidak mengambil vaksin, seterusnya menyebabkan nyawa terancam.

“Kita tidak boleh cakap macam itu. Kita kena tentukan apa yang kita katakan itu betul ataupun tidak. Saya tidak percaya dia (Mak Teh) betul kerana saya pun telah disuntik, isteri saya pun telah disuntik, tidak ada apa pun.

“Kami lebih bertahan daripada dijangkiti dengan wabak ini. Ini satu dakyah yang tidak ada asas. Dia sebenarnya menghukum mati kepada orang yang tidak dapat vaksin.

“Jadi orang tidak dapat vaksin mereka akan kena penyakit ini. Kalau dia mati, Mak Teh lah yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di Facebook beliau pada Sabtu.

Sebelum ini, tular satu audio seorang wanita dikenali sebagai 'Mak Teh’ mendakwa seramai 40 orang jururawat meninggal dunia kerana mengambil vaksin Covid-19 yang diberikan kerajaan.

Individu tersebut turut mendakwa vaksin Covid-19 tidak diuji di makmal serta mengandungi racun yang menyebabkan kematian.

Dalam audio itu, individu berkenaan turut mencadangkan kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin agar ‘mencuci badan’ dengan meminum air kelapa bagi membersihkan racun daripada vaksin berkenaan.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad menafikan dakwaan tersebut dan meminta semua masyarakat supaya membimbing keluarga mereka agar tidak membuat, berkongsi dan mempercayai maklumat sedemikian.

KKM menerusi hantaran di Facebook turut menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang kepada individu yang membuat kenyataan tidak benar serta menimbulkan kegelisahan awam.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!