X

Kindly register in order to view this article
!

Anak tendang, pukul ibu hingga cedera

Seorang wanita cedera dipukul dan ditendang anaknya sendiri dalam kejadian di Taman Intan Mas, Teluk Intan pada Sabtu. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Ahmad Adnan
A
A

TELUK INTAN - Anak derhaka. Perumpamaan itu boleh diberikan ke atas tindakan seorang wanita yang menengking, memukul dan menendang ibunya sendiri hingga mendatangkan kecederaan dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Intan Mas, di sini pada Sabtu.

Wanita berusia 30 tahun yang berkelulusan ijazah itu dikatakan bertindak demikian selepas berlaku perbalahan berpunca air tangki bilik air di rumah mereka habis sehingga menyebabkan dia tidak boleh mandi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian sekitar jam 8.30 malam berlaku di ruang tamu rumah itu mengakibatkan suspek berang dan memarahi serta menengking ibunya yang berusia 54 tahun.

Menurutnya, suspek yang tidak berpuas hati dengan kata ibunya terus menolak mangsa dan menunjal beberapa kali kepala mangsa dengan tangan.

"Suspek juga menendang paha mangsa sebanyak dua kali, memukul bahagian kiri muka dan jari mangsa beberapa kali.

"Kejadian itu telah mengkibatkan mangsa mengalami kesan kecederaan iaitu bengkak dan calar pada pipi kiri, jari serta mata sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.

Beliau berkata, ketika kejadian suspek turut mengeluarkan kata ugutan bunuh terhadap mangsa dan adik perempuannya berusia 17 tahun yang menyaksikan kejadian itu.

"Mangsa telahpun mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan Hospital Teluk Intan dan membuat laporan kepada polis.

"Susulan laporan itu, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek di kediaman mereka lebih kurang jam 2 pagi tadi (Ahad)," katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan dibuat, suspek yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu telah beberapa kali bertindak memarahi dan memukul ibunya serta merosakkan barang-barang dalam rumah.

"Suspek masih bujang dan pernah bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur. Dia mula tinggal bersama ibunya pada penghujung tahun 2014 setelah diberhentikan kerja," katanya.

Ahmad Adnan berkata, semakan lanjut dibuat mendapati, suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan ujian air kencing dibuat adalah negatif dadah.

"Polis telah mendapatkan perintah reman terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini (Ahad) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!