NGO gesa siasat ketirisan 'land swap' Kementerian Pertahanan

Razali
Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menyiasat ketirisan hasil kerajaan yang dianggarkan melebihi RM500 juta sepanjang pelaksanaan projek ‘land swap’ di Kementerian Pertahanan.

Presiden Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) Mejar (B) Razali Zakaria berkata pihak berkuasa harus menyiasat secara terperinci individu yang terlibat dalam projek berkenaan dan menyalahguna kuasa serta campur tangan politik.

“Pihak polis tanpa prejudis harus menyiasat dan bertindak segera terhadap maklumat yang terkandung dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan semalam.

"Melalui kenyataan itu jelas ada unsur melibatkan jenayah rasuah yang wajib disiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Semalam Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam satu kenyataan media memaklumkan berlaku ketirisan hasil kerajaan yang dianggarkan melebihi RM500 juta sepanjang pelaksanaan projek ‘land swap’ di Kementerian Pertahanan.

Maklumat berkenaan diperolehi selepas siasatan dijalankan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang terhadap beberapa projek kementerian.

Mohamad dalam kenyataan itu juga menyebut terdapat campur tangan politik dalam pemilihan lokasi projek itu atas kepentingan politik pihak tertentu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: