Virus tak bergerak, manusia yang bergerak: KP Kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu rakyat mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri dan keluarga bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 kerana virus tidak dapat bergerak jika manusia tidak bergerak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, rakyat boleh membantu KKM untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak itu dengan duduk di rumah.

Katanya, sekiranya rakyat hanya duduk di rumah dan tidak berlaku pergerakan atau perhimpunan maka kadar jangkitan boleh dikurangkan.

"Yang bergerak ialah manusia, yang berhimpun ialah manusia tetapi virus tidak bergerak, virus tidak berhimpun. Manusia yang berhimpun, manusia yang bergerak.

"Virus menjangkiti dan apabila menjangkiti, virus akan membiak di dalam paru-paru kita dan kalau banyak pembiakan berlaku, ia boleh menjangkiti dan berlakulah mutasi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sidang akhbar khas bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini berlaku pelbagai mutasi di Malaysia dengan wujudnya 'Variant of Concern' (VOC) atau 'Variant of Interest (VOI).

"Ada tiga VOC dikesan iaitu B.1.1.7, B.1.351 dan B.1.617 iaitu varian India, Afrika Selatan dan United Kingdom. Hanya varian Brazil iaitu P1 belum dikesan di negara kita.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini kita lihat peningkatan bukan hanya di negara kita tetapi juga di Singapura, Thailand dan negara-negara lain. Ini mungkin disumbangkan oleh varian yang baharu," katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan, sebelum ini negara dikejutkan dengan Kluster Sivagangga iaitu varian D614G yang menyaksikan hanya dalam tempoh tiga minggu virus tersebut cepat menular di Kedah.

Menurutnya, situasi itu adalah contoh mutasi yang berlaku dan varian D614G itu juga mungkin telah bermutasi menjadi varian VOC yang baharu dikesan.

"Jadi daripada varian Wuhan kita lihat, (virus) dah berubah dan digantikan dengan varian D614G dan sekarang ini dalam proses penggantian atau merebaknya VOC.

"VOC adalah varian baharu dan dari segi keupayaan tubuh, kita mungkin mudah dijangkiti dengan varian-varian baharu kerana ia merebak dengan cepat selain jumlah kes kematian juga meningkat.

"Inilah cabaran kita, jadi kita mohon dan merayu rakyat Malaysia untuk membantu KKM dengan duduk di rumah dan amalkan PKP kendiri dan keluarga," katanya.

Kata Dr Noor Hisham, amalan PKP kendiri dan keluarga itu perlu dilakukan untuk tempoh dua minggu supaya hospital mampu menampung lebih ramai pesakit untuk masa akan datang.

"Masa dua minggu itu diperlukan KKM untuk kita laksanakan beberapa kesiapsiagaan antaranya penyimpanan stok peralatan dan juga melihat kepada susun atur untuk kita meningkatkan lagi keperluan wad dan unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit-pesakit Covid-19," katanya.