1,037 rumah dan premis dua kawasan PKPD disanitasi

Mohamad Noor Yusof Ali
Mohamad Noor Yusof Ali
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1,037 rumah dan premis di dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini selesai menjalani proses sanitasi secara menyeluruh.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, proses sanitasi ini wajar dilakukan bagi memastikan kebersihan, nyah kuman di dua kawasan PKPD.

Menurutnya, ini sekali gus dapat mencegah penularan wabak Covid-19 di kawasan terbabit.

“Sanitasi awam ini melibatkan 787 buah rumah dan premis di Tanah Putih Baru manakala kawasan Seri Kemunting pula membabitkan 250 buah kediaman.

"Proses ini bermula pagi tadi (Sabtu) secara berperingkat dimulai di Tanah Putih Baru, seterusnya di Seri Kemunting dengan membuat semburan sanitasi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya, proses sanitasi ini mendapat kerjasama daripada beberapa agensi iaitu pihak bomba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Alam Flora dan Jabatan Penerangan.

Jelasnya, proses sanitasi ini dijalankan menggunakan 12 jentera daripada kesemua agensi terlibat bersama 71 anggota.

Dalam pada itu, Mohamad Noor meminta agar penduduk di kawasan PKPD supaya menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing, selain melaksanakan tindakan kendiri.

Artikel Berkaitan:

Taman Tanah Putih Baru telah dikenakan PKPD bermula 5 Mei sehingga 18 Mei lalu namun dilanjutkan lagi sehingga 25 Mei ini dan seramai 393 individu telah disahkan positif daripada Kluster Tanah Putih Baru.

PKPD bagi Seri Kemunting pula bermula pada 17 Mei lepas sehingga 30 Mei ini dengan seramai 36 individu telah disahkan positif daripada Kluster Kemunting ini.