Wanita OKU gigih jual donut sara keluarga

Suriati tetap gigih membuat kuih donut walaupun keterbatasannya bergerak akibat kemalangan jalan raya yang dialami pada tahun 2012 dan 2020 ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Karang, Pasir Mas pada Sabtu. - Foto Bernama
Suriati tetap gigih membuat kuih donut walaupun keterbatasannya bergerak akibat kemalangan jalan raya yang dialami pada tahun 2012 dan 2020 ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Karang, Pasir Mas pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Ungkapan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sesuai untuk menggambarkan kegigihan seorang wanita kurang upaya yang membuat dan menjual donat demi kelangsungan hidupnya sekeluarga.

Suriati Mat Zin, 44, yang berkerusi roda, menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya Zainal Abidin Ayub, 49, lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kemalangan pada 2017.

“Idea untuk berniaga donat ini timbul selepas suami saya hilang punca pendapatan sebagai penoreh getah, namun saya sekeluarga juga tidak mahu terus-terusan bergantung harap pada bantuan orang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Batu Karang, di sini pada Sabtu.

Menurut ibu kepada seorang anak perempuan itu, dia terpaksa berkerusi roda sejak akhir tahun lepas, setelah kedua belah kakinya mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan motosikal.

“Sebelum itu pada 2012 saya pernah kemalangan jalan raya yang mengakibatkan tempurung lutut hancur, namun pulih dan boleh berjalan semula selepas hampir dua tahun menderita,” katanya.

Dia yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan bagaimanapun tidak mahu berpeluk tubuh, sebaliknya memanfaatkan kemahiran yang ada untuk menghasilkan donat.

“Setiap hari saya mampu hasilkan kira-kira 100 biji donat yang saya letak di tiga buah kedai berdekatan rumah. Kebiasaannya donat yang saya jual pada harga 30 sen sebiji ini habis terjual,” katanya yang mengimpikan sebuah mesin pengadun bagi membolehkannya menghasilkan lebih banyak donat serta sebuah motosikal roda tiga.

“Saya akan mula membuat adunan donat seawal tiga pagi sebab saya uli guna tangan sahaja,” katanya yang turut dibantu anaknya Aina Zulaikha, 13.

Artikel Berkaitan:

Keluarga berkenaan menerima kunjungan wakil badan bukan kerajaan ThirdForce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar yang menyampaikan sumbangan wang tunai dan mesin pengadun. - Bernama