Selaras bantuan ke Gaza dalam masa terdekat: Mapim

Pengerusi dan Imam Masjid Andalusia Bandar Laguna Merbok, Burhanudin Wahab (kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM30,000 kepada Mohd Azmi pada Jumaat.
Pengerusi dan Imam Masjid Andalusia Bandar Laguna Merbok, Burhanudin Wahab (kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM30,000 kepada Mohd Azmi pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sedang melakukan perbincangan dengan Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra bagi melancarkan penghantaran bantuan ke Gaza.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sumbangan kepada penduduk Palestin diharap mampu dihantar selewat-lewatnya minggu hadapan.

"Ada beberapa bentuk bantuan sedang diselaraskan, pertama ialah misi ke Gaza sendiri yang cuba diusahakan dalam beberapa hari lagi.

"Kedua ialah dengan mengirim sumbangan kepada rakan organisasi di Gaza dan Masjid Al-Aqsa manakala ketiga adalah melalui pembekal barangan yang dibeli di sana seperti makanan, ubat-ubatan, pakaian dan peralatan perlindungan peribadi (PPE)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan bernilai RM30,000 di Masjid Andalusia Bandar Laguna Merbok, di sini pada Jumaat untuk disumbangkan kepada Palestin.

"Buat masa ini, perbincangan sedang dilakukan oleh Mapim dengan Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra untuk membantu kelancaran penghantaran bantuan sumbangan daripada orang ramai," katanya.

Difahamkan, jumlah yang berjaya dikumpul bersama kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) bawah Aqsa Defenders sudah mencecah lebih RM17 juta.

"Koordinasi dan kesepakatan akan dilakukan untuk mencari jalan terbaik bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berlainan, Mohd Azmi berkata, Mapim masih mengharapkan lebih banyak masjid mengambil inisiatif untuk mengumpul sumbangan bagi membela perjuangan Palestin.

"Usaha yang digerakkan jawatankuasa Masjid Andalusia bagi mengumpul dana sebagai tanda persaudaraan Islam membuktikan keprihatinan masyarakat Islam di kariah ini terhadap mangsa kekejaman Israel cukup tinggi," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank Mapim bernombor 8604-5566-78 atau akaun Maybank bernombor 5628-3463-6620 atas nama Tabung Kilat Bantuan Kemanusiaan Gaza.

Kekejaman regim Zionis yang menyerang Masjid Al-Aqsa menyebabkan 240 rakyat Palestin termasuk 60 kanak-kanak serta 36 wanita terkorban.

Pertempuran turut menyebabkan 450 bangunan seperti kediaman, sekolah, masjid, hospital, jalan raya dan premis media musnah dan 10,000 penduduk hilang tempat tinggal.