Ikhlas, gabungan NGO gesa kerajaaan laksana PKP penuh

Mohd Ridzuan (kiri) bersama Nozhar (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar.
Mohd Ridzuan (kiri) bersama Nozhar (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar.
A
A
A

KAJANG - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan supaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara penuh sebelum sistem kesihatan negara lumpuh.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah menegaskan, PKP penuh seperti PKP 1.0 perlu dilaksanakan semula oleh kerajaan di seluruh negara serta mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan rakyat.

“Keadaan sekarang lebih kritikal berbanding PKP 1.0, dahulu hanya 100 hingga 200 kes sehari sekarang kita lihat kes baharu sudah mencecah lebih 6,000, jadi di sini kami cadangkan laksanakan PKP penuh seperti PKP 1.0 untuk tempoh minimum sebulan.

“Untuk vaksinasi, tak perlu daftar, tunggu giliran baharu nak beri vaksin sebaliknya wajibkan sahaja. Dalam tempoh sebulan 'lockdown' sudah tentu orang ramai duduk di rumah, jadi kerahkan pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di setiap daerah untuk beri vaksin kepada orang ramai dari rumah ke rumah,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Hadir sama, wakil NGO gabungan, Datuk Nozhar Che Noor.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berharap semua pemain industri tidak kira besar atau kecil dapat memberi kerjasama kepada kerajaan.

Beliau turut melahirkan keyakinan sekiranya PKP penuh dilaksanakan kerajaan akan mewujudkan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka.

Katanya, rakyat tak perlu khuatir kerana di dalam belanjawan yang lalu kerajaan telah menentukan pelbagai bentuk bantuan untuk setiap lapisan masyarakat dan sektor-sektor yang terjejas termasuk pelaksanaan moratorium.

Artikel Berkaitan:

“Kita dapat lihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu PKP 1.0 menyediakan pelbagai kemudahan dan inisiatif untuk membantu rakyat.

“Biar susah sebulan, jadi selepas ini kita boleh berniaga sepanjang tahun, tidak perlu sekejap buka, sekejap tutup,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak khususnya pemimpin parti-parti politik supaya tidak memberi tekanan serta memberi peluang kepada Muhyiddin menjalankan tugas beliau dalam memerangi pandemik Covid-19 ini.

“Kita perlu bekerjasama untuk bantu Perdana Menteri, kurangkan tekanan dan beri peluang kepada beliau untuk menjalankan tugas, kerana nyawa rakyat lebih penting daripada politik.

"Jadi saya minta agar semua pihak beri kerjasama kepada kerajaan, bantu kerajaan untuk bantu anda semua,” katanya