X

Kindly register in order to view this article
!

Perbicaraan kes IPIC Najib-Irwan Serigar September ini dilapangkan

Najib
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion, yang sepatutnya bermula September depan dilapangkan bagi memberi laluan kepada dua kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Dua kes jenayah itu (1MDB dan laporan audit) kini masih di peringkat perbicaraan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan perbicaraan kes pecah amanah yang ditetapkan pada September dan Oktober ini dilapangkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab Rahman memaklumkan bahawa saksi-saksi dan keterangan yang akan dikemukakan pada perbicaraan kes itu adalah sama dengan kes 1MDB.

"Sekiranya kedua-dua perbicaraan (1MDB dan kes ini) berlangsung pada masa yang sama, terdapat kemungkinan akan berlakunya pertindihan keterangan yang akan dibawa dalam kes ini dan dalam kes 1MDB.

“Pihak kami berpandangan adalah wajar tarikh perbicaraan dilapangkan dan satu tarikh pengurusan kes pada bulan Disember ditetapkan bagi membolehkan pihak-pihak mengemas kini status kes 1MDB,” kata Nik Syahril.

Permohonan pihak pendakwaan itu tidak dibantah oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk K Kumaraendran, masing-masing mewakili Najib dan Mohd Irwan Serigar, yang mendapat pengecualian kehadiran ke mahkamah pada Jumaat.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Disember ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 9 Oktober lepas, Hakim Muhammad Jamil menetapkan perbicaraan kes pecah amanah itu selama 32 hari pada setiap hari dalam bulan September dan Oktober 2021 kecuali hari Jumaat.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 67, dan Mohd Irwan Serigar, 63, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!