MSBK 2021 dijadual berlangsung Ogos

MSBK mampu menjadi medan terbaik untuk melahirkan pelumba berkelas dunia pada masa hadapan.
MSBK mampu menjadi medan terbaik untuk melahirkan pelumba berkelas dunia pada masa hadapan.
A
A
A

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) secara bersama mengumumkan penganjuran empat pusingan Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) musim 2021 dalam keadaan negara menghadapi kenaikan kes harian jangkitan Covid-19.

Penganjur MSBK itu menyatakan, kejohanan tersebut dijangka diadakan pada Ogos depan di SIC dengan jangkaan jumlah jangkitan kes akan stabil dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

Pusingan pembukaan dijadualkan dari 6 hingga 8 Ogos diikuti pusingan kedua pada 20-22 Ogos manakala dua pusingan terakhir akan diadakan secara berganda dari 14-17 Oktober, namun bergantung kepada kelulusan kerajaan terutamanya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, penganjur adalah komited dalam mendapatkan kelulusan yang diperlukan dan akan memastikan mereka terlibat dengan perlumbaan ini patuh kepada SOP yang ditetapkan.

“Pengumuman ini membawa berita baik untuk persekitaran permotoran motosikal kita, saya percaya pelumba teruja untuk berlumba pada MSBK yang akan datang.

“Pada ketika ini, kita masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 7 Jun akibat peningkatan Covid-19. Walaupun kita mahu beraksi semula, namun keselamatan dan kesihatan semua pihak tetap menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah TWMR, Ron Hogg berkata, penganjuran kejohanan itu penting bagi memastikan sistem pembangunan pelumba terus memainkan peranannya dalam melahirkan pelumba berkelas dunia masa hadapan.

“Hanya satu pusingan perlumbaan MSBK dapat diadakan pada 2020 disebabkan pandemik itu. Walaupun kejohanan itu mungkin dapat atau tidak dapat menjemput pelumba luar negara untuk menyertainya pada masa ini, kami merasakan ada kepentingan untuk MSBK diteruskan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: