Hishammudin calon terbaik Presiden UMNO, kata Nazri

Nazri, Hishammuddin
Nazri, Hishammuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah calon terbaik untuk menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri negara, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut portal berita Astro Awani, Mohamed Nazri berkata, UMNO perlu memberi peluang kepada Hishammuddin untuk menerajui parti berkenaan berikutan pengalaman beliau dalam politik sebelum ini.

“Dalam parti juga beliau sangat berpengalaman dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda dan juga Naib Presiden UMNO.

“Kita bukan sahaja mahu mencari Presiden baharu dan boleh membawa perubahan kepada parti tetapi kita juga mahu Presiden yang dipilih adalah calon layak untuk dijadikan Perdana Menteri,” katanya.

Tambah beliau, Hishammuddin merupakan calon sesuai kerana merupakan seorang ahli politik yang mempunyai ‘national figure’ yang dihormati dan diterima oleh masyarakat pelbagai kaum.

"Saya juga melihat beliau diterima di peringkat antarabangsa. Kalau kita lihat peranan yang dimainkan ketika ini, kita boleh lihat bagaimana pemimpin antarabangsa mengiktiraf beliau," ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, perpecahan dalam UMNO akan bertambah teruk jika Hishammuddin bertindak mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pemilihan parti pada tahun 2018.

"Kita tidak boleh kata apabila Hishammuddin tidak bertanding apa-apa jawatan masa pemilihan sebelum ini sebagai pengecut.

Artikel Berkaitan:

"Kritikan yang mengatakan Hishammuddin pengecut semua ini bukan gambaran karakter sebenar beliau. Saya akan memberi sokongan kepada Hishammuddin," jelasnya.